Wahyu yang Diterima oleh Yohanes 3:1-22
3 “Tulislah kepada malaikat* sidang Sardis: Inilah hal-hal yang dikatakan oleh dia yang mempunyai tujuh daya Tuhan+ dan tujuh bintang itu:+ ‘Aku mengetahui perbuatan kamu. Kamu nampaknya hidup, tetapi sebenarnya kamu mati.+
2 Berhati-hatilah!+ Kuatkanlah hal-hal yang hampir mati yang ada pada kamu, kerana aku mendapati bahawa kamu tidak melaksanakan kerja kamu dengan sempurna di mata Tuhanku.
3 Oleh itu, teruslah ingat apa yang telah kamu terima dan apa yang telah kamu dengar. Teruslah berpegang padanya dan bertaubatlah.+ Jika kamu tidak bangun, aku akan datang seperti pencuri+ dan kamu langsung tidak akan mengetahui saatnya aku datang.+
4 “‘Namun demikian, masih ada beberapa orang dalam kalangan kamu di Sardis yang tidak mengotorkan jubah mereka.+ Merekalah yang akan berjalan denganku sambil memakai jubah putih,+ kerana mereka layak berbuat demikian.
5 Orang yang menang dalam pertempuran+ akan memakai jubah putih,+ dan aku tidak akan memadamkan namanya daripada kitab kehidupan.+ Sebaliknya, aku akan mengakui namanya di hadapan Bapaku dan di hadapan malaikat-malaikat-Nya.+
6 Hendaklah orang yang bertelinga mendengar apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan kepada sidang-sidang.’
7 “Tulislah kepada malaikat* sidang Filadelfia: Inilah hal-hal yang dikatakan oleh dia yang suci,+ yang benar,+ dan yang mempunyai kunci Daud.+ Apabila dia membuka pintu, tiada sesiapa pun yang dapat menutupnya, dan apabila dia menutup pintu, tiada sesiapa pun yang dapat membukanya:
8 ‘Aku mengetahui perbuatan kamu, dan aku tahu bahawa kekuatan kamu tidak seberapa, tetapi kamu menurut kata-kataku dan setia kepada namaku. Lihatlah! Aku telah membuka sebuah pintu bagi kamu,+ dan tiada sesiapa pun yang dapat menutupnya.
9 Kumpulan orang* milik Syaitan berdusta apabila mereka mengatakan bahawa mereka orang Yahudi. Sebenarnya, mereka bukan orang Yahudi.+ Maka aku akan membuat mereka datang dan bersujud di depan kaki kamu, dan mereka akan tahu bahawa aku mengasihi kamu.
10 Oleh sebab kamu telah meniru ketabahanku,+ aku juga akan menjaga kamu semasa kamu diuji. Masa ujian+ itu bakal menimpa seluruh bumi, dan semua orang yang tinggal di bumi akan diuji.
11 Aku akan segera datang.+ Teruslah berpegang teguh pada apa yang kamu miliki agar tiada orang dapat mengambil mahkota kamu.+
12 “‘Orang yang menang dalam pertempuran akan aku jadikan sebagai tiang di dalam Rumah Tuhanku, dan dia tidak akan meninggalkan tempat itu lagi. Pada dirinya, aku akan menulis nama Tuhanku+ dan nama kota Tuhanku, iaitu Yerusalem Baharu,+ yang turun dari syurga daripada Tuhanku. Aku juga akan menulis namaku yang baharu padanya.+
13 Hendaklah orang yang bertelinga mendengar apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan kepada sidang-sidang.’
14 “Tulislah kepada malaikat* sidang Laodikia:+ Inilah hal-hal yang dikatakan oleh dia yang dipanggil Amin,+ saksi+ yang setia dan benar,+ ciptaan Tuhan yang pertama:+
15 ‘Aku mengetahui perbuatan kamu, bahawa kamu tidak sejuk ataupun panas. Aku berharap kamu menjadi salah satu daripadanya, iaitu sama ada sejuk atau panas.
16 Oleh sebab kamu seperti air suam yang tidak sejuk+ ataupun panas,+ aku akan memuntahkan kamu daripada mulutku.
17 Kamu berkata, “Aku kaya,+ aku telah memperoleh banyak kekayaan, dan aku tidak memerlukan apa-apa.” Tetapi kamu tidak sedar bahawa kamu miskin, buta, telanjang, dan keadaan kamu menyedihkan.
18 Maka aku menasihati kamu untuk membeli benda-benda berikut daripada aku: Emas yang dimurnikan dengan api supaya kamu menjadi kaya; jubah putih supaya kamu berpakaian dan orang lain tidak melihat keadaan kamu yang telanjang dan memalukan;+ ubat mata untuk disapukan pada mata kamu+ supaya kamu dapat melihat.+
19 “‘Aku menegur dan mendisiplinkan semua orang yang aku kasihi.+ Oleh itu, tunjukkanlah semangat yang berkobar-kobar dan bertaubatlah.+
20 Lihatlah! Aku sedang berdiri di depan pintu dan mengetuk pintu. Jika ada orang yang mendengar suaraku lalu membuka pintu, aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan malam bersama dia, dan dia akan makan malam bersama aku.
21 Sepertimana aku duduk+ bersama Bapaku di atas takhta-Nya setelah menang dalam pertempuran,+ aku juga akan mengizinkan orang yang menang dalam pertempuran untuk duduk bersama aku di atas takhtaku.+
22 Hendaklah orang yang bertelinga mendengar apa yang dikatakan oleh kuasa suci Tuhan kepada sidang-sidang.’”