Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas 24:1-53
24 Pada hari Ahad,* ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu membawa bahan wangi yang telah disediakan oleh mereka dan pergi ke makam.+
2 Tetapi mereka mendapati bahawa batu penutup pintu makam telah digulingkan ke tepi.+
3 Apabila mereka masuk ke dalam, mereka tidak menjumpai mayat Tuan Yesus.+
4 Sementara mereka masih kebingungan tentang hal itu, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka.
5 Wanita-wanita itu tunduk memandang ke tanah kerana takut. Maka kedua-dua lelaki itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari dia yang hidup dalam kalangan orang yang mati?+
6 Dia tiada di sini. Dia sudah dibangkitkan. Ingatlah akan apa yang telah dikatakannya kepada kamu semasa dia masih di Galilea.
7 Dia mengatakan bahawa Anak Manusia mesti diserahkan kepada pendosa dan dihukum bunuh pada tiang lalu dibangkitkan pada hari ketiga.”+
8 Barulah mereka teringat akan kata-kata Yesus.+
9 Maka mereka beredar dari makam dan memberitahukan hal-hal itu kepada 11 orang rasul dan semua murid yang lain.+
10 Mereka yang memberitahukan perkara-perkara itu kepada para rasul ialah Maria Magdalena, Yohana, Maria, iaitu ibu kepada Yakobus, dan juga wanita lain yang ada bersama mereka.
11 Namun begitu, para rasul dan murid-murid lain enggan mempercayai mereka kerana berasa bahawa mereka sedang menceritakan hal yang bukan-bukan.
12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam. Dia menjenguk ke dalam makam dan hanya nampak kain pembalut mayat. Maka dia meninggalkan tempat itu sambil tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku.
13 Pada hari itu juga, dua orang murid Yesus mengadakan perjalanan ke sebuah pekan yang bernama Emaus. Emaus terletak kira-kira 11 kilometer* dari Yerusalem.
14 Mereka berbual tentang semua peristiwa yang telah berlaku.
15 Semasa mereka sedang berbual dan membincangkan hal-hal ini, Yesus mendekati mereka dan mula berjalan bersama-sama mereka.
16 Mereka nampak dia tetapi tidak mengenalnya.+
17 Dia berkata kepada mereka, “Apakah yang sedang kamu pertikaikan dalam perjalanan kamu?” Maka mereka berhenti. Muka mereka kelihatan sedih.
18 Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas berkata kepada Yesus, “Bukankah kamu tinggal di Yerusalem? Jadi mengapakah kamu sahaja yang tidak mengetahui* apa yang telah berlaku di situ akhir-akhir ini?”
19 Maka dia bertanya kepada mereka, “Apakah peristiwa yang kamu maksudkan?” Mereka menjawab, “Peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan Yesus, orang Nasaret itu.+ Di sisi Tuhan dan dalam pandangan semua orang, dia seorang nabi yang berkuasa, baik dalam kata-katanya mahupun dalam perbuatannya.+
20 Tetapi para ketua imam dan pemerintah kami menyerahkannya supaya dihukum mati+ dan dipakukan pada tiang.
21 Kami berharap bahawa dialah orang yang akan membebaskan Israel.+ Lagipun hari ini hari ketiga semenjak semua peristiwa ini berlaku.
22 Selain itu, kami juga terperanjat setelah mendengar kata-kata beberapa orang wanita dalam kalangan kami. Semasa mereka pergi ke makam pada awal pagi,+
23 mereka tidak menjumpai mayat Yesus. Kemudian mereka kembali dan melaporkan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang mengatakan bahawa Yesus sudah hidup.
24 Tambahan lagi, beberapa orang yang bersama kami pergi ke makam.+ Mereka mendapati bahawa keadaannya memang seperti yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak menjumpai Yesus.”
25 Maka dia berkata kepada mereka, “Hai kamu yang tidak berakal dan lambat mempercayai semua yang dikatakan oleh para nabi,
26 bukankah Kristus perlu mengalami penderitaan itu+ agar dimuliakan?”+
27 Kemudian, Yesus menjelaskan kepada mereka hal-hal yang berkaitan dengan dirinya dalam Ayat-Ayat Suci, bermula dari kitab-kitab Musa dan Ajaran Para Nabi.+
28 Apabila mereka menghampiri pekan yang ditujui, Yesus kelihatan seolah-olah akan meneruskan perjalanan,
29 tetapi mereka mendesaknya supaya tidak meninggalkan mereka. Mereka berkata, “Tinggallah bersama kami kerana hari sudah petang.” Maka dia masuk ke dalam rumah dan tinggal bersama mereka.
30 Semasa dia makan* bersama mereka, dia mengambil roti, mengucapkan syukur, membahagikan roti itu, lalu mengedarkannya kepada mereka.+
31 Barulah mata mereka terbuka dan mereka mengenal bahawa dia ialah Yesus. Tetapi dia lenyap daripada pandangan mereka.+
32 Mereka berkata kepada satu sama lain, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita semasa kita dalam perjalanan?”
33 Pada masa itu juga, mereka bangun dan kembali ke Yerusalem. Di sana, mereka mendapati 11 orang rasul dan murid-murid lain sedang berkumpul.
34 Mereka yang berkumpul di sana berkata, “Tuan Yesus benar-benar sudah dibangkitkan dan dia telah menampakkan diri kepada Simon!”+
35 Kemudian mereka berdua menceritakan apa yang berlaku dalam perjalanan dan bagaimana mereka mengenali dia semasa dia membahagikan roti.+
36 Ketika mereka sedang menceritakan perkara-perkara itu, Yesus muncul di tengah-tengah mereka dan berkata, “Salam sejahtera.”+
37 Mereka terkejut dan ketakutan kerana menyangka bahawa mereka nampak makhluk roh.
38 Maka dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu takut? Mengapakah hati kamu ragu-ragu?
39 Inilah aku! Lihatlah tangan dan kakiku dan sentuhlah aku. Makhluk roh tidak mempunyai daging dan tulang sebagaimana yang kamu lihat pada diriku.”
40 Sambil bercakap, Yesus menunjukkan tangan dan kakinya kepada mereka.
41 Namun, mereka masih tidak dapat percaya kerana mereka terlalu gembira dan hairan. Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?”
42 Mereka memberinya sepotong ikan yang dipanggang.
43 Dia mengambil ikan itu dan memakannya di depan mata mereka.
44 Kemudian dia berkata kepada mereka, “Semasa aku masih bersama kamu,+ aku pernah mengatakan bahawa semua perkara yang tertulis tentang aku dalam Hukum Musa, Ajaran Para Nabi, dan Mazmur mesti berlaku.”+
45 Kemudian Yesus membuka fikiran mereka dengan sepenuhnya supaya mereka dapat memahami maksud Ayat-Ayat Suci.+
46 Dia berkata kepada mereka, “Ada tertulis bahawa Kristus akan menderita lalu dibangkitkan daripada kematian pada hari ketiga,+
47 dan atas dasar namanya, perkhabaran akan disebarkan kepada semua bangsa+ bermula dari Yerusalem,+ agar manusia bertaubat daripada dosa lalu diampuni.+
48 Kamu harus menjadi saksi untuk semua perkara ini.+
49 Lihatlah! Aku akan memberi kamu apa yang telah dijanjikan oleh Bapaku. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kamu menerima kuasa dari syurga.”+
50 Kemudian Yesus membawa mereka ke Betania. Di situ dia mengangkat tangannya dan memberkati mereka.
51 Semasa Yesus memberkati mereka, dia meninggalkan mereka dan terangkat ke syurga.+
52 Lalu mereka sujud kepadanya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh sukacita.+
53 Mereka sentiasa memuji-muji Tuhan di Rumah-Nya.+
Nota Kaki
^ Harfiah, “hari pertama dalam seminggu.” Bagi orang Yahudi, hari Ahad ialah hari pertama dalam seminggu.
^ Harfiah, “60 stadium.” Lihat Lampiran B14.
^ Atau mungkin, “Adakah kamu satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui?”
^ Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku.