Imamat 1:1-17
-
Korban bakar (1-17)
1 Dari dalam khemah pertemuan,+ Yehuwa memanggil Musa lalu berfirman kepadanya,
2 “Beritahulah umat Israel, ‘Apabila seseorang mempersembahkan ternakannya sebagai korban kepada Aku, Yehuwa, dia harus mempersembahkan lembu, bebiri, atau kambing.+
3 “‘Jika dia mempersembahkan seekor lembu sebagai korban bakar, dia harus mempersembahkan lembu jantan yang tidak ada kecacatan.+ Dia harus membawa lembu itu ke hadapan pintu masuk khemah pertemuan dan mempersembahkannya dengan rela hati+ kepada Aku, Yehuwa.
4 Dia harus meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu. Dengan demikian korbannya akan diterima dan dosanya akan diampunkan.
5 “‘Lembu jantan itu mesti disembelih di hadapan Aku, Yehuwa. Kemudian imam-imam keturunan Harun+ akan mempersembahkan darah lembu itu. Mereka juga akan memercikkan darah itu pada setiap sisi mazbah+ yang terletak di hadapan pintu masuk khemah pertemuan.
6 Kulit lembu itu harus dibuang dan lembu itu harus dipotong menjadi beberapa bahagian.+
7 Imam-imam keturunan Harun harus membawa bara api+ ke mazbah itu dan menyusun kayu-kayu di atas api itu.
8 Mereka juga harus menyusun bahagian-bahagian binatang itu,+ termasuk kepala dan lemaknya di atas api pada mazbah.
9 Usus dan betis binatang itu pula harus dicuci dengan air. Kemudian imam akan membakar semuanya sehingga asap naik dari mazbah. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku. Itulah korban bakar untuk Aku, Yehuwa.+
10 “‘Jika seseorang mempersembahkan bebiri atau kambing sebagai korban bakar,+ dia harus mempersembahkan bebiri atau kambing jantan yang tidak ada kecacatan.+
11 Binatang itu harus disembelih di hadapan Aku, Yehuwa, iaitu di sebelah utara mazbah. Imam-imam keturunan Harun akan memercikkan darah binatang itu pada setiap sisi mazbah.+
12 Binatang itu harus dipotong menjadi beberapa bahagian. Kemudian imam akan menyusun bahagian-bahagian binatang itu, termasuk kepala dan lemaknya di atas api pada mazbah.
13 Usus dan betis binatang itu pula harus dicuci dengan air. Kemudian imam akan membakar semuanya sehingga asap naik dari mazbah. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku. Itulah korban bakar untuk Aku, Yehuwa.
14 “‘Namun jika seseorang hendak mempersembahkan burung sebagai korban bakar kepada Aku, Yehuwa, dia harus mempersembahkan burung tekukur atau burung merpati yang muda.+
15 Imam harus membawa burung itu ke mazbah lalu menggentas* lehernya dan mencurahkan darahnya pada sisi mazbah. Dia harus membakarnya sehingga asap naik dari mazbah.
16 Bulu dan tembolok* burung itu harus dikeluarkan lalu dibuang di sebelah timur mazbah, iaitu di tempat membuang abu.*+
17 Burung itu harus dibelah pada bahagian tengah di antara kedua-dua sayapnya, tetapi tubuh burung itu tidak boleh diceraikan sepenuhnya. Kemudian imam akan membakar burung itu di atas api sehingga asap naik dari mazbah. Bau daripada korban yang dibakar itu menyenangkan hati-Ku. Itulah korban bakar untuk Aku, Yehuwa.
Nota Kaki
^ Iaitu, memetik dengan kuku.
^ Kantung tempat menyimpan makanan pada leher burung.
^ Iaitu, abu yang bercampur lemak daripada korban yang dibakar.