Surat kepada Sidang-Sidang di Galatia 6:1-18

  • Saling memikul beban (1-10)

    • Menuai apa yang ditanam (7, 8)

  • Sunat tidak penting (11-16)

    • Ciptaan yang baharu (15)

  • Kata penutup (17, 18)

6  Saudara-saudara, jika seseorang mengambil langkah yang salah sebelum menyedarinya, kamu yang matang secara rohani haruslah mencuba untuk membetulkannya dengan lemah lembut.+ Tetapi perhatikanlah diri kamu+ supaya kamu sendiri tidak tergoda.+ 2  Teruslah membantu satu sama lain untuk memikul beban,+ dan dengan demikian, kamu melakukan apa yang dinyatakan dalam hukum Kristus.+ 3  Jika seseorang menyangka bahawa dirinya penting, padahal tidak,+ dia sedang menipu dirinya sendiri. 4  Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri,+ dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.+ 5  Hal ini demikian kerana setiap orang harus memikul tanggungan* masing-masing.+ 6  Selain itu, hendaklah sesiapa yang diajar tentang firman Tuhan mengongsi semua perkara baik dengan orang yang menyampaikan ajaran itu.+ 7  Janganlah menipu diri sendiri. Tuhan tidak dapat diperbodoh. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.+ 8  Orang yang menanam menurut keinginan yang berdosa akan menuai kebinasaan daripada keinginannya yang berdosa itu. Tetapi orang yang menanam menurut bimbingan kuasa suci Tuhan akan menuai kehidupan kekal daripada kuasa suci Tuhan.+ 9  Oleh itu, teruslah berbuat baik tanpa berputus asa. Jika kita tidak berputus asa,* kita akan menuai hasilnya pada waktu yang ditetapkan.+ 10  Maka selagi kita berpeluang, marilah kita berbuat baik kepada semua orang, terutamanya kepada saudara saudari kita yang seiman. 11  Lihatlah betapa besarnya huruf yang aku tulis kepada kamu dengan tanganku sendiri! 12  Mereka semua yang mencuba memaksa kamu untuk disunat ialah orang yang mahu menyenangkan hati orang lain.* Mereka berbuat demikian hanya untuk mengelak daripada dianiaya kerana tiang seksaan* Kristus. 13  Bahkan mereka yang membiarkan diri disunat pun tidak mematuhi Hukum,+ tetapi mereka mahu kamu disunat supaya mereka dapat menggunakan kamu sebagai alasan untuk bercakap besar. 14  Semoga aku tidak membanggakan apa-apa pun kecuali tiang seksaan* Tuan kita, Yesus Kristus.+ Disebabkan dia, dunia sudah mati* dalam pandanganku, dan aku pun sudah mati dalam pandangan dunia. 15  Tidaklah penting sama ada bersunat atau tidak bersunat.+ Yang penting ialah ciptaan yang baharu.+ 16  Semoga Israel milik Tuhan, iaitu mereka yang hidup menurut prinsip itu, menikmati kedamaian dan belas kasihan.+ 17  Mulai sekarang, janganlah sesiapa pun menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada tanda-tanda selar yang menunjukkan bahawa aku hamba Yesus.+ 18  Saudara-saudara, semoga kebaikan hati Tuan Yesus Kristus yang unggul menyertai sikap baik yang kamu tunjukkan. Amin.

Nota Kaki

Atau “tanggungjawab.”
Atau “tidak menjadi letih.”
Atau “mahu memberikan tanggapan yang baik secara luaran.”
Lihat Kamus.
Lihat Kamus.
Atau “dihukum bunuh pada tiang.”