Ayub 33:1-33
33 “Hai Ayub, sekarang dengarlah kata-kataku;Dengarlah dengan teliti semua yang akan kukatakan kepadamu.
2 Aku mesti berbicara kepadamu;Aku mesti bercakap kepadamu.
3 Sesungguhnya, kata-kataku membuktikan bahawa hatiku tulus.+Dengan ikhlas bibirku menyatakan apa yang aku tahu.
4 Kuasa suci Tuhan yang telah menciptakan aku,+Dan nafas Dia Yang Maha Kuasa yang memberikan hidup kepadaku.+
5 Bersedialah dan nyatakanlah hujah-hujahmu;Berilah jawapan jika kamu mampu.
6 Di hadapan Tuhan, kamu dan aku sama sahaja;Seperti kamu, aku juga dibentuk daripada tanah liat.+
7 Oleh itu, janganlah takut kepada aku,Dan janganlah berasa tertekan kerana aku.
8 Namun, aku selalu mendengar kata-katamu;Ya, inilah yang asyik kamu katakan:
9 ‘Aku suci, dan aku tidak berbuat dosa;+Aku murni, dan aku tidak berbuat salah.+
10 Tetapi Tuhan mencari alasan untuk menentang aku;Dia menganggap aku seperti musuh-Nya.+
11 Tuhan memasung kakiku;Dia mengawasi setiap langkahku.’+
12 Tetapi kamu tidak patut berkata demikian, jadi aku akan menjawab kata-katamu:
Tuhan lebih unggul daripada manusia fana.+
13 Mengapa kamu tidak puas hati terhadap-Nya?+
Adakah kerana kamu berfikir Dia tidak menjawab kata-katamu?+
14 Sebenarnya Tuhan telah berfirman berulang kali,Tetapi tiada sesiapa yang memberikan perhatian.
15 Pada malam hari, semasa orang tidur nyenyak,Semasa mereka melelapkan mata di atas tempat tidur,Tuhan telah berfirman melalui mimpi dan penglihatan.+
16 Kemudian Dia membuka telinga mereka supaya mereka mendengar;+Dia mengukirkan segala ajaran-Nya pada hati mereka.
17 Dia berbuat demikian untuk menjauhkan seseorang daripada kejahatan,+Dan untuk melindungi orang itu supaya dia tidak menjadi sombong.+
18 Tuhan menyelamatkannya supaya dia tidak masuk ke dalam kuburan,+Dan memeliharanya agar tidak dibunuh dengan mata pedang.
19 Seseorang dapat memperoleh pengajaran semasa dia terlantar sakit,Dan apabila dia menderita kerana tulang-tulangnya sakit.
20 Ketika itu, dia kehilangan selera makan;Makanan yang sedap pun memuakkan baginya.+
21 Dia menjadi kurus kering,Sehingga tulang-tulangnya pun kelihatan.
22 Apabila dia hampir masuk ke dalam kuburan,Apabila nyawanya hampir putus,*
23 Alangkah baiknya jika antara ribuan malaikat,Ada satu malaikat yang diutus kepadanyaUntuk mengajarnya berbuat baik.
24 Dengan demikian, Tuhan akan berkenan kepadanya dan berfirman,‘Selamatkanlah orang itu agar dia tidak masuk ke dalam kuburan,+
Kerana Aku telah mendapat tebusan untuknya!+
25 Biarlah tubuhnya menjadi lebih segar* daripada tubuh orang muda;+Biarlah dia menjadi kuat dan perkasa semula, seperti pada masa mudanya.’+
26 Dia akan berdoa kepada Tuhan,+ dan Tuhan akan mendengar doanya.Tuhan akan berkenan semula kepadanya,Dan dia akan melihat Tuhan dengan sorakan gembira.
27 Dia akan mengumumkan kepada orang ramai,‘Aku telah berdosa+ dan memutarbelitkan kebenaran,Tetapi aku tidak dihukum setimpal dengan kesalahanku.*
28 Tuhan telah menebus nyawaku agar aku tidak masuk ke dalam kuburan.+Oleh itu, aku dapat terus melihat cahaya.’
29 Sebenarnya, Tuhan telah melakukan semua ini.Ya, Dia telah berbuat demikian berulang kali.
30 Dia telah menyelamatkan orang itu agar tidak masuk ke dalam kuburan.Dengan itu, orang tersebut dapat terus melihat cahaya kehidupan.+
31 Hai Ayub, sekarang dengarlah baik-baik.
Berdiam dirilah sementara aku bercakap.
32 Jika ada sesuatu yang hendak kamu katakan, beritahulah aku.
Bercakaplah, kerana aku ingin membantumu agar kamu dibuktikan benar.
33 Tetapi jika tiada, kamu harus mendengar kata-kataku.Teruslah berdiam diri, dan aku akan mengajarkan hikmat kepadamu.”
Nota Kaki
^ Atau “nyawanya mendekati para pembawa maut.”
^ Atau “sihat.”
^ Atau mungkin, “Dan hal itu tidak bermanfaat bagiku.”