19 SEPTEMBER 2023
JERMAN
Anak Muda Saksi Diberi Anugerah bagi Projek tentang Saudari Wilhelmine Pötter
Pada 6 Julai 2023, sekumpulan Saksi muda dari bandar Kassel, Jerman, telah diberikan anugerah tempat pertama bagi projek laporan tentang keberanian Saudari Wilhelmine Pötter, seorang mangsa pemerintahan Nazi.
Di sekitar bandar Kassel, Stolpersteine bagi Yayasan Kassel telah menempatkan plak-plak kecil yang berbentuk seperti bata di jalanan untuk memperingati mereka yang terkorban semasa pemerintahan Nazi. Plak sedemikian juga dibuat untuk memperingati Wilhelmine dan suaminya Justus Pötter. Selain itu, di Niestetal, iaitu sebuah pekan yang berdekatan, terdapat jalan yang dinamakan sempena Saudari Wilhelmine Pötter. Sempena ulang tahun ke-10 Yayasan Kassel, para pelajar dari bandar itu dijemput untuk membuat laporan tentang satu atau beberapa mangsa pemerintahan Nazi. Laporan tersebut harus mengandungi kisah hidup mereka dan pengajaran yang telah diraih.
Kumpulan Saksi ini terdiri daripada 15 orang yang berumur antara 13 hingga 23 tahun. Mereka telah memilih Saudari Wilhelmine untuk projek laporan mereka. Sebuah video yang panjangnya 24 minit telah dihasilkan. Tajuknya ialah, “Hanya Taat kepada Tuhan” (Nur Gottgehorsam 2.0), dan mengisahkan hidup Wilhelmine dari masa dia dipenjarakan oleh orang Nazi pada 1937 sehingga dia meninggal pada 1942 di kem konsentrasi Ravensbrück. Ketika itu, dia berumur 49 tahun. Tambahan lagi, mereka membuat poster kecil yang memaparkan foto surat-surat yang ditulis oleh Wilhelmine kepada suami dan keluarganya semasa dia dipenjarakan. Poster-poster itu diletakkan di sebuah perhentian bas di Jalan Wilhelmine-Pötter.
Dalam salah satu surat kepada suaminya yang bertarikh 25 April 1937, Wilhelmine menulis, “Kepada Justus tersayang, saya amat lega kerana kita berdua tetap tenang dan beriman meskipun dijatuhkan hukuman berat. Sekarang, kita serahkan semuanya ke dalam tangan Tuan kita supaya Dia dapat terus membimbing kita. Paling penting sekali, saya memohon agar Tuan kita menguatkan kita secara rohani dan jasmani supaya kita dapat menunaikan ikrar kita kepada-Nya dan tetap setia hingga akhir. Dia tidak akan membiarkan kita menanggung beban yang melampaui kemampuan kita. Marilah kita terus bergantung pada Tuan kita dengan iman yang teguh.” Doanya dikabulkan, dan Wilhelmine serta Justus berjaya mengekalkan integriti mereka kepada Tuhan sehingga akhir hayat mereka.
Dalam video laporan tersebut, Saudari Alexandra Altemeier yang berumur 23 tahun menyatakan, “Wilhelmine dan suaminya tahu bahawa mereka pasti akan dianiaya kerana mereka ialah pengikut Kristus. Mereka rela dianiaya, ditangkap, dan bahkan dibunuh kerana iman mereka. Mereka sanggup alami semua ini kerana mereka tahu bahawa Tuhan tidak akan melupakan mereka.” Saudara Ole Schröder yang berumur 18 tahun merupakan salah seorang anggota dalam projek itu. Dia menjelaskan, “Teladan Saudari Pötter benar-benar menyentuh hati saya. Dia beriman dan setia kepada Tuhan. Dia tabah dan tidak pernah hilang sukacitanya. Saya mahu meniru sikap dan teladannya. Dia menunjukkan kepada saya betapa berharganya persahabatan kita dengan Tuhan.”
Semasa acara penyampaian anugerah, seluruh video itu telah dimainkan kepada hadirin yang berjumlah 180 orang. Mereka termasuk pelajar lain, pihak media, datuk bandar, ketua Jabatan Kebudayaan, dan pengarah pengurusan sekolah.
Sudah pasti anak-anak muda yang telah mengambil bahagian dalam projek ini berasa sangat digalakkan semasa mengkaji kisah hidup Justus dan Wilhelmine. Kita turut didorong oleh keberanian dan iman mereka. Kita amat yakin bahawa Yehuwa tidak akan melupakan hamba-Nya yang setia.—Ibrani 6:10.