29 SEPTEMBER 2022
GREECE
Pejabat Cawangan Greece Ditubuhkan 100 Tahun yang Lalu
Ulang tahun ke-100 penubuhan pejabat cawangan Greece yang pertama jatuh pada 6 Oktober 2022.
Pada 1905, penyebaran berita baik bermula di Greece. Saksi-Saksi Yehuwa menginjil dengan bersemangat di negara itu. Pada 1922, Saudara Joseph F. Rutherford menubuhkan pejabat cawangan yang pertama di Athens. Saudara Athanassios Karanassios dilantik sebagai wakil pejabat cawangan yang pertama. Pejabat itu mula menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Greek pada 1936. Dua tahun kemudian, kerajaan menggubal undang-undang yang melarang penyebaran agama. Maka, Saudara Karanassios ditangkap pada 1939. Pejabat percetakan pula ditutup, dan harta milik organisasi dirampas selama beberapa bulan. Kemudian, Greece ikut serta dalam Perang Dunia Kedua, maka darurat diisytiharkan. Akibatnya, bahan bacaan kita diharamkan dan kemudahan Bethel ditutup.
Selepas perang, pada 1945 para saudara yang mengambil pimpinan dapat atur semula kerja penyebaran kerana kerja kita tidak lagi diharamkan. Dua tahun kemudian, Saudara Nathan H. Knorr mengunjungi para saudara di Greece dan merancang untuk pejabat cawangan yang baharu di Tenedou Street, Athens. Memang jelas bahawa Yehuwa memberkati segala usaha itu. Pada 1951 terdapat 3,368 penyiar di negara itu. Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 26 peratus berbanding dengan tahun yang sebelumnya.
Pada Oktober 1954, Bethel baharu di Kartali Street, Athens telah ditahbiskan. Kerja penyebaran semakin berkembang walaupun ditentang. Pada 1967 pihak tentera mengawal Greece, maka perjumpaan sidang dan kerja menginjil diharamkan sekali lagi.
Saudara Michalis Kaminaris dan isterinya, Eleftheria, berkhidmat di Bethel semasa pengharaman itu. Saudara Kaminaris kata, “Semasa pengharaman, kita tidak dibenarkan untuk mencetak bahan bacaan di Bethel. Maka, rumah yang kami tinggal di subbandar Athens menjadi tempat untuk kami hasilkan majalah. Eleftheria taip rencana Menara Pengawal dengan menggunakan mesin taip yang berat. Dia letak 10 helai kertas dalam mesin taip dan perlu tekan butang-butangnya dengan kuat supaya huruf-huruf dapat dibaca. Selepas itu, saya akan kumpulkan kertas-kertas itu dan menjahitnya. Kami buat begitu setiap petang sehingga larut malam. Kami masih tertanya-tanya mengapa seorang polis yang tinggal satu tingkat di bawah tidak pernah rasa curiga tentang apa yang berlaku.”
Jumlah penyiar semakin berkembang biarpun kerja kita diharamkan. Pada 1974, selepas kita bebas daripada pengharaman, kemudahan Bethel yang lebih besar diperlukan sekali lagi. Bertahun-tahun yang seterusnya, jumlah penyiar terus meningkat dan kerana itu pejabat cawangan pun terus berkembang. Pejabat cawangan yang kini terletak di Drapetsona, Piraeus, ditahbiskan pada 18 November 2018. Sekarang, terdapat 27,752 penyiar yang berkhidmat di Greece.
Meskipun hadapi pengharaman, peperangan, dan tentangan yang berulang kali, peningkatan yang berterusan di Greece selama 100 tahun ini membuktikan bahawa tiada apa-apa yang dapat halang Yehuwa daripada “melakukan hal ini dengan segera, tepat pada waktunya.”—Yesaya 60:22.