Lompat ke kandungan

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Perawan Maria?

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Perawan Maria?

 Jawapan Bible

 Bible menyatakan bahawa Maria, iaitu ibu kepada Yesus, telah diberi penghormatan yang istimewa untuk melahirkan Yesus semasa dia masih seorang anak dara. Mukjizat ini dinubuatkan dalam buku Yesaya dan digenapi dalam buku Matius dan Lukas.

 Mengenai kelahiran Mesias, Yesaya bernubuat, “Seorang gadis akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki.” (Yesaya 7:​14) Matius diilhami untuk mencatatkan kehamilan Maria sebagai penggenapan nubuat Yesaya. Setelah melaporkan kehamilan Maria yang berlaku secara mukjizat, Matius menulis, “Semua ini berlaku agar terjadilah apa yang difirmankan oleh Yehuwa melalui nabi-Nya, ‘Lihatlah! Seorang anak dara a akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki, dan anak itu akan dinamakan Imanuel,’ yang bermaksud ‘Tuhan Menyertai Kita.’”​—Matius 1:​22, 23.

 Lukas juga melaporkan tentang kehamilan Maria yang berlaku secara mukjizat. Dia menulis bahawa Tuhan mengutus malaikat Gabriel “untuk menemui seorang anak dara yang bernama Maria. Dia sudah bertunang dengan seorang lelaki daripada keturunan Daud yang bernama Yusuf.” (Lukas 1:​26, 27) Maria sendiri telah mengesahkan bahawa dia adalah seorang perawan. Setelah mendengar bahawa dia akan menjadi ibu kepada Yesus, iaitu Mesias, Maria bertanya, “Bagaimanakah hal ini boleh berlaku? Aku masih dara.”​—Lukas 1:​34.

 Bagaimanakah seorang perawan dapat melahirkan anak?

 Maria menjadi hamil kerana kuasa suci Tuhan, iaitu tenaga atau daya aktif yang dimiliki oleh Tuhan. (Matius 1:​18) Maria diberitahu, “Kuasa suci Tuhan akan datang ke atasmu, dan kekuatan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Itulah sebabnya anak yang bakal dilahirkan itu akan disebut suci, Anak Tuhan.” b (Lukas 1:​35) Tuhan memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim Maria secara mukjizat, lalu Maria pun menjadi hamil.

 Mengapakah Tuhan memilih seorang perawan untuk melahirkan Yesus?

 Tuhan menggunakan seorang perawan untuk melahirkan Yesus supaya dia tidak mewarisi ketidaksempurnaan daripada ayah kandung manusia. Melalui cara ini, Yesus mempunyai tubuh manusia yang sempurna dan dapat menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian. (Yohanes 3:​16; Ibrani 10:5) Tuhan telah memindahkan nyawa Yesus ke dalam rahim Maria. Kemudian, kuasa suci Tuhan melindungi perkembangan embrio tersebut daripada ketidaksempurnaan.​—Lukas 1:​35.

 Oleh itu, Yesus dapat dilahirkan sebagai manusia yang sempurna, sama seperti Adam sebelum dia berdosa. Mengenai Yesus, Bible berkata, “Dia tidak melakukan dosa.” (1 Petrus 2:​22) Sebagai manusia yang sempurna, Yesus dapat membayar tebusan untuk membebaskan manusia daripada dosa dan kematian.​—1 Korintus 15:21, 22; 1 Timotius 2:​5, 6.

 Adakah Maria tetap perawan seumur hidupnya?

 Bible tidak pernah mengajarkan bahawa Maria tetap perawan seumur hidupnya. Sebaliknya, Bible mengatakan bahawa Maria mempunyai anak-anak yang lain.​—Matius 12:46; Markus 6:3; Lukas 2:7; Yohanes 7:5.

Bible mengajar bahawa Yesus mempunyai beberapa orang adik

 Adakah kelahiran Yesus oleh perawan Maria sama dengan ajaran “Konsepsi Suci”?

 Tidak. Menurut New Catholic Encyclopedia, dogma Konsepsi Suci mengajar bahawa “Perawan Maria dilindungi daripada DOSA ASAL sejak awal kehidupannya, iaitu sejak dalam kandungan. Seluruh umat manusia mewarisi dosa . . . Tetapi Maria dilimpahi KURNIA TUHAN yang melindunginya daripada dosa asal.” c

 Sebaliknya, Bible tidak pernah mengajar bahawa Maria seorang yang bebas daripada dosa. (Mazmur 51:5; Roma 5:​12) Sebenarnya, Maria telah menunjukkan bahawa dia memang berdosa apabila dia mempersembahkan korban pengampunan dosa yang diwajibkan Hukum Musa kepada para ibu. (Imamat 12:​2-8; Lukas 2:​21-​24) New Catholic Encyclopedia menyatakan, “Dogma Konsepsi Suci tidak disebut secara langsung dalam Ayat-Ayat Suci . . . Ajaran ini ditentukan oleh Gereja.”

 Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap Maria?

 Maria telah menetapkan teladan yang baik dari segi iman, ketaatan, kerendahan hati dan juga kasihnya yang mendalam terhadap Tuhan. Dia adalah salah seorang hamba Tuhan yang setia dan kita patut mencontohinya.​—Ibrani 6:​12.

 Namun begitu, Bible tidak mengajar kita untuk menyembah Maria atau berdoa kepadanya walaupun dia diberi peranan yang istimewa sebagai ibu Yesus. Yesus tidak memberikan layanan istimewa kepada ibunya, dan dia juga tidak mengajar para pengikutnya untuk berbuat demikian. Sebenarnya, selain daripada buku Matius, Markus, Lukas, Yohanes dan Kisah Para Rasul, nama Maria tidak pernah disebutkan di 22 buku lain dalam Perjanjian Baharu.​—Kisah 1:​14.

 Tiada bukti dalam Bible yang menunjukkan bahawa orang Kristian abad pertama memberi keutamaan kepada Maria atau memujanya. Sebaliknya, Bible mengajar bahawa orang Kristian hanya boleh menyembah Tuhan.​—Matius 4:​10.

a Istilah Ibrani ‘al-mah’ yang diterjemahkan sebagai “gadis” dalam nubuat Yesaya boleh merujuk kepada seorang perempuan yang masih perawan ataupun tidak. Namun, Matius telah diilhami oleh kuasa suci Tuhan untuk menggunakan perkataan Yunani par·theʹnos, yang khususnya bermaksud “anak dara”.

b Sesetengah orang membantah penggunaan istilah “Anak Tuhan” kerana mereka menganggap istilah ini membawa maksud bahawa Tuhan telah mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita. Namun, pendapat ini tidak selaras dengan ajaran Bible. Bible menggelar Yesus sebagai “Anak Tuhan” dan “anak sulung antara semua ciptaan” kerana dia merupakan ciptaan pertama Tuhan dan dia sahaja yang diciptakan oleh Tuhan sendiri. (Kolose 1:​13-​15) Bible juga merujuk kepada manusia yang pertama, Adam, sebagai “anak Tuhan.” (Lukas 3:38) Hal ini kerana Adam diciptakan oleh Tuhan.

c Edisi Kedua, Jilid 7, muka surat 331.