Apakah Itu Kesengsaraan Besar?
Jawapan Bible
Kesengsaraan besar akan membawa kesusahan besar yang belum pernah berlaku terhadap umat manusia. Menurut nubuat Bible, peristiwa itu akan terjadi pada “hari-hari terakhir” atau “akhir zaman.” (2 Timotius 3:1; Daniel 12:4) “Kesengsaraan sebegini tidak pernah berlaku semenjak Tuhan menciptakan segala-galanya sehingga sekarang, dan tidak akan berlaku lagi.”—Markus 13:19; Daniel 12:1; Matius 24:21, 22.
Peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa kesengsaraan besar
Kemusnahan agama palsu. Dalam masa yang sangat singkat, agama palsu akan dimusnahkan. (Wahyu 17:1, 5; 18:9, 10, 21) Kehendak Tuhan ini akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mewakili kuasa-kuasa politik dunia.—Wahyu 17:3, 15-18. a
Serangan terhadap agama benar. Bangsa-bangsa yang bersekutu, yang dirujuk sebagai “Gog dari Magog” dalam penglihatan Yehezkiel, akan cuba menghapuskan mereka yang mengamalkan agama benar. Walau bagaimanapun, Tuhan akan melindungi para penyembah-Nya daripada dibinasakan.—Yehezkiel 38:1, 2, 9-12, 18-23.
Penghakiman terhadap penduduk bumi. Yesus akan menghakimi umat manusia dan “akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing.” (Matius 25:31-33) Orang akan dihakimi berdasarkan cara mereka memperlakukan “saudara-saudara” Yesus yang akan memerintah bersamanya di syurga.—Matius 25:34-46.
Pengumpulan para pemerintah Kerajaan Tuhan. Orang-orang setia yang terpilih untuk memerintah bersama Yesus akan dibangkitkan untuk hidup di syurga setelah mereka mengakhiri hayat mereka di bumi.—Matius 24:31; 1 Korintus 15:50-53; 1 Tesalonika 4:15-17.
Armagedon. “Perang yang tercetus pada hari besar Tuhan Yang Maha Kuasa” ini juga dikenali sebagai “hari Yehuwa.” (Wahyu 16:14, 16; Yesaya 13:9; 2 Petrus 3:12) Mereka yang telah dihakimi dan didapati menentang Kristus akan dihapuskan. (Zefanya 1:18; 2 Tesalonika 1:6-10) Seluruh sistem politik dunia akan dibinasakan. Menurut Bible, sistem politik ini digambarkan sebagai binatang buas yang mempunyai tujuh kepala.—Wahyu 19:19-21.
Peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas kesengsaraan besar
Syaitan dan malaikat-malaikatnya dikurung. Satu malaikat agung akan membuang Syaitan dan malaikat-malaikatnya “ke dalam jurang yang dalam,” yang melambangkan keadaan tidak aktif. (Wahyu 20:1-3) Keadaan Syaitan di dalam jurang yang dalam itu sama seperti di dalam penjara; dia tidak dapat mempengaruhi segala peristiwa yang berlaku.—Wahyu 20:7.
Pemerintahan Seribu Tahun bermula. Pemerintahan Seribu Tahun Kerajaan Tuhan akan bermula. Pemerintahan Kerajaan Tuhan akan mendatangkan berkat besar kepada umat manusia. (Wahyu 5:9, 10; 20:4, 6) “Kumpulan besar manusia” yang tidak terhitung jumlahnya akan “selamat mengharungi kesengsaraan besar,” dan mereka akan menyaksikan permulaan Pemerintahan Seribu Tahun di bumi.—Wahyu 7:9, 14; Mazmur 37:9-11.
a Dalam buku Wahyu, agama palsu dilambangkan sebagai Babilon Besar atau “pelacur besar.” (Wahyu 17:1, 5) Binatang buas berwarna merah marak, yang membinasakan Babilon Besar, melambangkan organisasi yang bertujuan untuk menyatukan dan mewakili bangsa-bangsa di seluruh dunia. Pada mulanya organisasi ini dikenali sebagai Liga Bangsa-Bangsa dan sekarang sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.