Apakah yang Dikatakan Bible tentang Kemarahan?
Jawapan Bible
Bible mengajarkan bahawa kemarahan yang tidak terkawal boleh mendatangkan mudarat kepada si pemarah dan juga orang di sekelilingnya. (Amsal 29:22) Walaupun ada kalanya kita mempunyai alasan yang munasabah untuk menjadi marah, Bible mengatakan bahawa sesiapa yang selalunya menunjukkan “ledakan kemarahan” tidak akan mendapat penyelamatan. (Galatia 5:19-21) Bible mengandungi prinsip-prinsip yang dapat membantu seseorang untuk menangani perasaan marah.
Adakah kemarahan selalunya salah?
Tidak. Sesetengah kemarahan itu mungkin ada alasan yang munasabah. Contohnya, Nehemia, seorang hamba Tuhan yang setia, “menjadi sangat marah” apabila dia mengetahui bahawa rakan seimannya ditindas.—Nehemia 5:6.
Ada kalanya, Tuhan juga berasa marah. Sebagai contoh, “Yehuwa sangat murka terhadap” umat-Nya pada zaman dahulu apabila mereka memungkiri janji untuk menyembah Dia sahaja lalu menyembah dewa-dewi palsu. (Hakim-Hakim 2:13, 14) Meskipun demikian, kemarahan bukanlah sifat utama Tuhan Yehuwa. Kemarahan-Nya sentiasa munasabah dan terkawal.—Keluaran 34:6; Yesaya 48:9.
Bilakah kemarahan itu menjadi salah?
Kemarahan yang tidak terkawal atau tidak bertempat adalah salah. Manusia yang tidak sempurna cenderung untuk menunjukkan kemarahan sebegini. Perhatikan beberapa contoh:
Kain “berasa marah” apabila Tuhan menolak persembahannya. Kain membiarkan kemarahannya terus bertambah sehingga dia membunuh adiknya.—Kejadian 4:3-8.
Nabi Yunus “menjadi sangat marah” apabila Tuhan menunjukkan belas kasihan terhadap orang Niniwe. Tuhan menegur Yunus, dan mengatakan bahawa dia tidak patut menjadi begitu marah. Sebaliknya, dia harus berasa kasihan terhadap para pendosa yang bertaubat.—Yunus 3:10–4:1, 4, 11. a
Kedua-dua contoh ini menunjukkan bahawa “seseorang yang dikuasai kemarahan tidak dapat melakukan apa yang benar di mata Tuhan,” terutamanya apabila kemarahan itu tidak terkawal dan tidak bertempat.—Yakobus 1:20.
Bagaimanakah anda dapat menangani kemarahan?
Sedarlah bahawa kemarahan yang tidak terkawal adalah suatu kelemahan. Sesetengah orang menyangka bahawa melampiaskan kemarahan itu tanda kekuatan mereka. Namun, seseorang yang tidak dapat mengawal kemarahannya sebenarnya mempunyai kelemahan yang serius. “Seseorang yang tidak dapat mengawal kemarahannya bagaikan kota yang temboknya telah dimusnahkan.” (Amsal 25:28; 29:11) Sebaliknya, apabila kita memupuk keupayaan untuk mengawal kemarahan, kita menunjukkan pengertian dan kekuatan yang sejati. (Amsal 14:29) Bible berkata, “Orang yang lambat marah lebih baik daripada orang yang perkasa.”—Amsal 16:32.
Mengatasi kemarahan sebelum anda melakukan sesuatu yang anda kesali. Mazmur 37:8 berkata, “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu.” Ayat yang sama juga memberi nasihat berikut: “Janganlah menjadi panas hati dan janganlah berbuat jahat.” Perhatikan bahawa apabila kita berasa marah, kita boleh memilih untuk singkirkan kemarahan supaya kita tidak “berbuat jahat.” Efesus 4:26 juga berkata, “Jika kamu marah, janganlah berdosa.”
Jika boleh, tinggalkan tempat itu apabila kemarahan mula membara. Bible berkata, “Memulakan pertengkaran bagaikan membuka pintu empangan; maka beredarlah sebelum perkelahian meletus.” (Amsal 17:14) Walaupun kita harus menyelesaikan perselisihan dengan orang lain secepat mungkin, ada kalanya rasa marah kedua-dua pihak perlu masa untuk reda barulah dapat berbincang dengan tenang.
Ketahuilah semua fakta. Amsal 19:11 berkata, “Orang yang berpengertian lambat naik marah.” Orang yang bijak akan mengumpulkan semua fakta sebelum membuat kesimpulan. Apabila kita memberi perhatian kepada setiap sudut pandangan, kita tidak akan cenderung untuk menjadi marah secara membabi buta.—Yakobus 1:19.
Berdoalah untuk ketenangan minda. Melalui doa, kita boleh mengalami “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Filipi 4:7) Doa merupakan salah satu cara utama kita menerima kuasa suci Tuhan, yang dapat membantu kita untuk menghasilkan sifat-sifat seperti kedamaian, kesabaran, dan kawalan diri.—Lukas 11:13; Galatia 5:22, 23.
Pilihlah pergaulan anda dengan bijak. Biasanya kita cenderung terikut-ikut dengan sikap orang yang kita bergaul bersama. (Amsal 13:20; 1 Korintus 15:33) Oleh itu, Bible memberi kita amaran, “Jangan bersahabat dengan orang yang panas baran, dan jangan bergaul dengan orang yang suka marah.” Mengapa? “Agar kamu tidak terikut-ikut dengan haluannya lalu terkena jerat.”—Amsal 22:24, 25.
a Nampaknya, Yunus menerima nasihat Tuhan dan tidak lagi berasa marah, kerana Tuhan telah menggunakannya untuk menulis buku Yunus dalam Bible.