Apakah Asal Usul Halloween?
Jawapan Bible
Bible tidak menyebut tentang Halloween, iaitu perayaan yang disambut oleh ramai orang pada 31 Oktober setiap tahun. Namun, asal usul kuno dan adat perayaan Halloween bertentangan dengan ajaran Bible.
Dalam rencana ini
Sejarah dan tradisi Halloween
Samhain: Menurut The World Book Encyclopedia, Halloween berasal daripada perayaan Samhain, iaitu “perayaan kuno yang disambut oleh orang Celt lebih 2,000 tahun yang lalu.” Buku itu menyatakan, “Orang Celt percaya bahawa orang mati akan kembali untuk bersama orang yang masih hidup pada waktu ini. Semasa perayaan Samhain, orang yang hidup dapat berhubung dengan orang mati.”—Lihat “ Apakah Asal Usul Nama Halloween?”
Pakaian Halloween, gula-gula, dan “trick or treat” a: Menurut suatu sumber, sesetengah orang Celt memakai pakaian yang menyeramkan agar kelihatan serupa dengan roh yang berkeliaran dan tidak diganggu oleh roh. Ada juga yang mempersembahkan makanan manis kepada roh supaya mereka tidak naik marah dan kacau orang. b
Pada Zaman Pertengahan di Eropah, iaitu sekitar 500 hingga 1500 Tahun Masihi, pemimpin agama Katolik mula ikut adat berhala yang diamalkan oleh penganut agama di sekitar mereka. Mereka juga menyuruh pengikut mereka untuk memakai pakaian tertentu dan pergi dari rumah ke rumah untuk meminta hadiah kecil.
Hantu, puntianak, serigala jadian, ahli sihir, dan zombi: Istilah-istilah ini sudah lama dikaitkan dengan alam roh-roh jahat. Buku Halloween Trivia merujuk kepada makhluk-makhluk ini sebagai “raksasa ghaib,” yang “berkait rapat dengan kematian, orang mati atau takut akan kematian.”
Labu Halloween atau jack-o’-lantern: Pada Zaman Pertengahan di Britain, sesetengah orang “pergi dari rumah ke rumah untuk meminta makanan lalu mengucapkan doa untuk orang mati.” Mereka juga “mengangkat lobak bulat yang isinya dikeluarkan. Sebatang lilin diletak dalam setiap lobak bulat yang melambangkan roh yang terkurung di tempat api penyucian.” (Halloween—From Pagan Ritual to Party Night) Sesetengah sumber kata bahawa ia digunakan untuk menghalau roh-roh jahat. Sekitar 1800-an di Amerika Utara, lobak tidak lagi digunakan. Sebaliknya, labu digunakan kerana jumlahnya yang banyak, mudah diukir, dan isinya senang dikeluarkan.
Adakah asal usul Halloween penting?
Ya. Sesetengah orang fikir bahawa Halloween sekadar perayaan yang seronok dan tidak melukai sesiapa. Namun, cara ia disambut jelas sekali berlawanan dengan ajaran Bible. Halloween berkaitan dengan kepercayaan palsu tentang orang mati dan roh-roh jahat.
Perhatikan ayat-ayat Bible berikut yang tunjuk apa pandangan Tuhan tentang kepercayaan Halloween:
“Jangan di antara kamu . . . yang bertanyakan hantu syaitan . . . atau yang bertanyakan orang mati.”—Ulangan 18:10-12, Alkitab Terjemahan Lama.
Maksud: Tuhan tidak suka jika orang berhubung dengan orang mati atau berpura-pura melakukannya.
“Orang mati tidak tahu apa-apa pun.”—Pengkhutbah 9:5.
Maksud: Oleh sebab orang mati tidak sedar apa-apa pun, mereka tidak dapat berhubung dengan orang yang masih hidup.
“Aku tidak mahu kamu terlibat dengan roh-roh iblis. Kamu yang tidak dapat minum dari cawan Tuhan, minum pula daripada cawan roh iblis.”—1 Korintus 10:20, 21, Alkitab Versi Borneo.
Maksud: Jika kita ingin gembirakan hati Tuhan, kita tidak boleh ada apa-apa kaitan dengan roh-roh jahat.
‘Berdiri teguhlah untuk melawan muslihat Iblis yang licik. Hal ini demikian kerana kita . . . melawan roh-roh jahat di syurga.’—Efesus 6:11, 12.
Maksud: Orang Kristian melawan roh-roh jahat dan tidak ada apa-apa kaitan dengan mereka. Maksudnya, kita tidak patut berpura-pura menyambut perayaan dengan mereka.