Apakah Itu Jiwa?
Jawapan Bible
Perkataan “jiwa” dalam Bible diterjemahkan daripada perkataan Ibrani neʹphesh dan perkataan Yunani psy·kheʹ. Perkataan Ibrani itu secara harfiah bermaksud “makhluk yang bernafas,” dan perkataan Yunani itu pula bermaksud “makhluk hidup.” a Maka jiwa merujuk kepada sesuatu makhluk dan bukannya jasad dalam tubuh yang terus hidup selepas seseorang mati. Perhatikan bagaimana Bible menunjukkan bahawa jiwa merujuk kepada manusia sebagai makhluk hidup:
Semasa Yehuwa menciptakan Adam, iaitu manusia yang pertama, Bible memberitahu kita bahawa dia “menjadi jiwa yang hidup.” (Kejadian 2:7, King James Version) Adam tidak diberikan jiwa—dia menjadi jiwa, atau orang yang hidup.
Ayat-ayat Bible menyebut tentang kegiatan manusia seperti menyentuh sesuatu, berselera dan makan, bekerja serta mematuhi hukum. (Imamat 5:2; 7:20; 23:30; Ulangan 12:20; Roma 13:1) Dalam semua contoh ini, sang pelaku diterjemahkan daripada perkataan neʼphesh dan psy·kheʹ, yang merujuk kepada individu yang hidup.
Dapatkah jiwa mati?
Ya, jiwa dapat mati. Terdapat banyak ayat Bible yang menunjukkan bahawa jiwa dapat mati. Berikut merupakan beberapa contoh:
“Sesiapa [jiwa] yang berdosa, dialah yang akan mati.”—Yehezkiel 18:4, 20, nota kaki.
“Semasa dia membuka meterai yang kelima, aku nampak di bawah mazbah ada darah [jiwa] orang yang dibunuh demi firman Tuhan.”—Wahyu 6:9, nota kaki.
Setelah seseorang mati, istilah harfiah “jiwa yang mati” digunakan dalam beberapa ayat Bible untuk merujuk kepada mayat. (Bilangan 6:6; Hagai 2:13; lihat juga nota-nota kaki) Meskipun banyak terjemahan Bible menggunakan perkataan “mayat” di ayat itu, perkataan asal dalam bahasa Ibrani ialah neʹphesh, atau “jiwa.”
“Jiwa” dapat bermaksud “nyawa”
Kadangkala perkataan Ibrani neʹphesh dan perkataan Yunani psy·kheʹ digunakan untuk merujuk kepada nyawa manusia. Sebagai contoh, Ayub 33:22 menggunakan perkataan Ibrani untuk “jiwa” (neʹphesh) sebagai sinonim untuk perkataan “nyawa.” Begitu juga, Bible menunjukkan bahawa jiwa, atau nyawa, dapat dipertaruhkan atau diancam.—Keluaran 4:19; Hakim-Hakim 9:17; Filipi 2:30.
Yehuwa memberitahu Musa, “Semua orang yang hendak membunuh engkau [neʹphesh] sudah meninggal.” (Keluaran 4:19) Perhatikan juga kata-kata Yesus, “Aku ialah gembala yang baik. Gembala yang baik menyerahkan nyawanya [psy·kheʹ] demi kawanan biri-birinya.” (Yohanes 10:11) Yesus menyerahkan jiwanya, atau nyawanya, bagi umat manusia. Dalam kedua-dua ayat Bible ini, perkataan Ibrani neʹphesh dan perkataan Yunani psy·kheʹ dengan jelas sekali merujuk kepada nyawa atau kehidupan seseorang.
Asal usul ajaran jiwa yang tidak dapat mati
Banyak aliran Kristian mengajarkan bahawa jiwa tidak dapat mati. Ajaran ini berasal daripada falsafah Yunani kuno dan bukannya Bible. Buku Encyclopædia Britannica menyatakan, “Ayat-ayat Bible mengenai jiwa berkaitan dengan konsep nafas dan tidak membezakan antara jiwa yang bersifat roh dengan tubuh jasmani. Konsep Kristian yang membezakan tubuh dengan jiwa berasal daripada kepercayaan Yunani kuno.”
Tuhan tidak senang hati jika ajaran-Nya dicampuradukkan dengan falsafah manusia, seperti kepercayaan bahawa jiwa tidak dapat mati. Sebaliknya, Bible memberikan amaran berikut: “Berwaspadalah agar tidak ada sesiapa pun yang memperhamba kamu dengan falsafah dan tipu daya kosong yang berdasarkan adat istiadat manusia.”—Kolose 2:8.
a Lihat kamus The New Brown, Driver, and Briggs Hebrew and English Lexicon of the Old Testament, muka surat 659, dan Lexicon in Veteris Testamenti Libros, muka surat 627. Banyak terjemahan Bible menterjemahkan kata neʹphesh dan psy·kheʹ menurut konteksnya dengan menggunakan perkataan seperti “jiwa,” “nyawa,” “orang,” “makhluk,” atau “tubuh.”