Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Lendir Lintah Bulan yang Melekit

Lendir Lintah Bulan yang Melekit

 Para pakar bedah sudah lama mencari pelekat perubatan yang sesuai untuk digunakan dalam pembedahan dan pembaikan luka tisu badan. Kebanyakan pelekat sekarang tidak selamat untuk digunakan dalam badan, kerana mengandungi toksin dan menjadi keras apabila kering. Pelekat ini juga tidak dapat melekat pada tisu basah. Dengan mengkaji lendir lintah bulan, a para saintis telah menemui cara untuk menyelesaikan masalah ini.

 Fikirkan: Semasa lintah bulan berasa diancam, lintah bulan akan merembeskan lendir yang cukup melekit untuk melekatkan dirinya pada daun basah, dan pada masa yang sama masih dapat bergerak. Itulah cara lintah bulan melindungi diri.

 Para penyelidik telah membuat analisis atas lendir lintah bulan dan menemui beberapa sebab mengapa lendir itu berkesan sebagai pelekat semula jadi. Misalnya, lendir itu menggunakan ikatan kimia dan tarikan elektrostatik, lalu dapat menembusi permukaan di mana lintah bulan melekat dan menjadi elastik apabila diberikan tekanan. Para penyelidik telah mencipta pelekat yang meniru sifat lendir lintah bulan. Bahan yang dihasilkan jauh lebih kuat daripada pelekat perubatan yang biasa digunakan sekarang dan dapat melekat pada organ hidup. Pelekat ini dapat melekat pada organ dengan begitu kuat, seperti tulang rawan melekat pada tulang.

 Para pakar percaya bahawa pelekat ini sangat berguna bagi setiap pakar bedah kerana kaedah ini dapat menggantikan teknik jahit dan kokot. Pelekat ini juga boleh digunakan untuk memperbaiki tulang rawan atau melekatkan peranti perubatan di sesuatu bahagian dalam badan dengan tepat. Beberapa ujian menempel lubang pada jantung babi dan hati tikus telah dilakukan, dan pelekat ini terbukti berkesan.

 Bagi menyelesaikan masalah harian, para saintis sering kali mendapatkan inspirasi yang unggul hasil daripada mengkaji alam semula jadi di sekeliling kita. Donald Ingber, seorang pengarah dari institut yang telah menghasilkan pelekat sintetik ini berkata, “Untuk mendapatkan idea baik, kita hanya perlu mencarinya di sekeliling kita.”

 Apakah pandangan anda? Adakah pelekat semula jadi yang terdapat pada lintah bulan wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?

a Nama saintifiknya ialah Arion subfuscus.