Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Kulit Ikan Paus Pandu yang Dapat Membersihkan Diri

Kulit Ikan Paus Pandu yang Dapat Membersihkan Diri

 Teritip dan pelbagai organisma laut yang melekat pada badan kapal laut menimbulkan beberapa masalah kepada pengendali kapal, seperti mengurangkan kelajuan kapal dan menyebabkan kapal membakar lebih banyak bahan api. Selain itu, beberapa tahun sekali, kapal harus berhenti beroperasi kerana perlu dibersihkan. Maka ahli-ahli sains membuat kajian untuk mengatasi masalah ini secara semula jadi.

 Fikirkan: Ahli-ahli sains mendapati bahawa kulit ikan paus pandu (Globicephala melas) mempunyai kebolehan untuk membersihkan diri. Permukaan kulitnya mempunyai rabung-rabung kecil, yang dipanggil nanoridges. Hal ini menyebabkan larva teritip tidak dapat melekat pada permukaan kulitnya. Selain itu, ruang di antara rabung-rabung ini dipenuhi dengan sejenis gel yang dapat menyingkirkan alga dan bakteria. Setiap kali ikan paus pandu berganti kulit, gel yang baharu akan dihasilkan.

 Ahli-ahli sains merancang untuk meniru kebolehan kulit paus ini dan menggunakannya dalam pembinaan badan kapal laut. Sebelum ini, badan-badan kapal disaluti sejenis cat yang menghalang pertumbuhan teritip dan organisma laut yang lain. Akan tetapi, penggunaan cat tersebut telah diharamkan kerana cat itu mengandungi toksik yang boleh membahayakan hidupan laut. Maka para penyelidik mencuba mencari jalan penyelesaian yang lain. Mereka menyeliputi badan kapal dengan satu lapisan berlubang-lubang yang mengeluarkan sejenis bahan kimia yang tidak berbahaya kepada hidupan laut, dan lapisan ini ditutupi dengan jaringan logam. Bahan kimia yang dikeluarkan oleh lapisan berlubang itu akan bertukar menjadi gel yang tebal apabila terkena air laut dan membentuk lapisan “kulit” yang melindungi badan kapal. Lama kelamaan, lapisan gel yang setebal 0.7 milimeter ini akan tertanggal bersama-sama hidupan laut yang melekat padanya. Kemudian, sistem ini akan menghasilkan lapisan gel yang baharu untuk menyaluti badan kapal tersebut.

Teritip mengurangkan kelajuan kapal dan susah ditanggalkan

 Ujian makmal telah menunjukkan bahawa sistem ini dapat mengurangkan pertumbuhan teritip pada badan kapal sebanyak 100 kali ganda. Hal ini memberikan manfaat yang besar kepada syarikat perkapalan kerana sistem ini dapat mengurangkan kos pembersihan kapal.

 Apakah pandangan anda? Adakah kebolehan ikan paus pandu ini wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?