Saya Tertarik kepada Orang yang Sama Jantina—Adakah Saya Homoseksual?
Tidak!
Fakta: Bagi kebanyakan orang, perasaan tertarik kepada orang yang sama jantina hanya timbul untuk sementara.
Itulah yang dialami Lisette, seorang gadis yang berumur 16 tahun. Buat satu ketika dia tertarik dengan seorang gadis. Lisette berkata: “Saya belajar dari kelas biologi di sekolah bahawa semasa zaman remaja, paras hormon akan mengalami perubahan besar. Saya rasa jika orang muda lebih mengenali tubuh sendiri, mereka akan faham bahawa perasaan tertarik kepada orang sama jantina itu hanyalah sementara. Maka, mereka tidak akan berasa terdesak untuk menjadi homoseksual.”
Tetapi bagaimana pula jika perasaan itu tidak hilang-hilang? Adakah Tuhan itu kejam kerana menyuruh mereka yang tertarik kepada orang yang sama jantina agar menjauhi hubungan sejenis?
Jika kamu menjawab ya kepada soalan yang terakhir tadi, ingatlah bahawa fikiran sedemikian mencerminkan tanggapan yang salah bahawa manusia mesti tunduk kepada nafsu seks sendiri. Bible menghormati manusia dengan meyakinkan mereka bahawa mereka dapat memilih untuk menolak hawa nafsu yang berdosa.—Kolose 3:5.
Pendirian Bible tidak melampau. Perintah Bible “jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan seks yang tidak bermoral,” ditujukan kepada semua, tidak kira yang tertarik kepada orang yang sama jantina atau yang tertarik kepada orang yang berlawanan jantina. (1 Korintus 6:18) Sebenarnya, jutaan orang bukan homoseksual yang ingin mematuhi ajaran Bible menunjukkan kawalan diri semasa digoda. Mereka yang mempunyai kecenderungan homoseksual juga dapat berbuat demikian jika mereka ingin menggembirakan Tuhan.—Ulangan 30:19.