Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Apakah yang Perlu Saya Ketahui tentang Serangan Seksual?​—Bahagian 2: Pemulihan

Apakah yang Perlu Saya Ketahui tentang Serangan Seksual?​—Bahagian 2: Pemulihan

 Mengatasi rasa bersalah

 Banyak mangsa penderaan seksual sangat malu dengan apa yang berlaku kepada mereka. Ada yang bahkan berasa bahawa merekalah yang bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku. Sebagai contoh, Karen yang kini berumur 19 tahun, pernah mengalami penderaan seksual sejak dia berumur 6 tahun sehingga dia berumur 13 tahun. “Kesan paling buruk yang perlu saya hadapi ialah rasa bersalah,” katanya. “Saya asyik berfikir, ‘Mengapakah saya membiarkan hal itu terus berlaku untuk begitu lama?’”

 Jika kamu juga berasa begitu, fikirkanlah hal-hal yang berikut:

  •   Kanak-kanak tidak bersedia untuk mengadakan hubungan seks. Mereka tidak cukup matang dari segi fizikal atau emosi. Mereka tidak tahu apa itu hubungan seks, dan itulah sebabnya mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan. Maka, jika seorang kanak-kanak didera secara seksual, tidak mungkin hal itu kesalahannya.

  •   Kanak-kanak selalunya percaya kepada orang dewasa dan mereka sangat naif. Mereka tidak tahu tentang cara licik yang digunakan oleh orang jahat. Maka pemangsa seks dapat mengambil kesempatan atas mereka dengan senang sekali. Buku The Right to Innocence menyatakan, “Pemangsa seks selalunya merupakan penipu yang mahir, dan kanak-kanak mudah ditipu oleh mereka.”

  •   Semasa kanak-kanak didera secara seksual, mereka mungkin berasa terangsang secara seksual. Jika hal itu berlaku kepada kamu, ketahuilah bahawa hal itu merupakan reaksi tubuh yang normal sewaktu seseorang disentuh dalam cara tertentu. Hal itu tidak bermaksud bahawa kamu menyetujui perbuatan itu dan bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku.

 Cadangan: Fikir tentang seorang budak yang kamu kenal dan yang umurnya sama dengan kamu sewaktu kamu didera. Kemudian fikirkan, “Adakah adil jika budak itu dianggap bersalah jika dia didera?”

 Karen berfikir tentang hal itu semasa dia menjadi pengasuh kepada tiga orang budak. Salah seorang budak itu berumur hampir enam tahun, iaitu umur yang sama dengan Karen semasa Karen mula didera. Karen berkata, “Saya sedar bahawa budak pada umur itu sangat naif dan tidak dapat melindungi diri sendiri. Saya juga sama semasa saya berumur enam tahun.”

 Fakta: Pemangsalah yang bertanggungjawab atas penderaan yang telah kamu alami. Bible menyatakan, “Orang yang jahat akan diadili berdasarkan kejahatannya.”​—Yehezkiel 18:20.

 Manfaat meluahkan isi hati kamu

 Ceritakanlah apa yang telah berlaku kepada orang dewasa yang dapat dipercayai. Hal itu sedikit sebanyak dapat melegakan hati kamu. Bible menyatakan, “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”​—Amsal 17:17.

 Memang, kamu mungkin berasa selamat kerana tidak menceritakan apa yang telah berlaku kepada orang lain. Perbuatan kamu seperti membina sebuah tembok yang dapat melindungi diri kamu agar tidak semakin terluka. Namun, tembok itu juga akan menghalang kamu daripada mendapat bantuan yang diperlukan.

Jika kamu diam sahaja, kamu seperti membina tembok untuk melindungi diri kamu agar tidak semakin terluka. Tetapi, kamu juga tidak akan mendapat bantuan yang diperlukan

 Setelah menceritakan apa yang dialami olehnya, seorang wanita muda yang bernama Janet berasa amat lega. Dia berkata, “Saya didera semasa saya sangat kecil. Saya didera oleh orang yang saya kenal dan percaya, dan saya memendamkannya selama bertahun-tahun. Tetapi selepas saya memberitahu ibu saya apa yang telah berlaku, saya berasa seperti beban berat yang saya tanggung selama ini telah hilang.”

 Sewaktu Janet mengingat kembali apa yang dialaminya, dia faham mengapa sesetengah orang teragak-agak untuk menceritakan apa yang telah berlaku kepada orang lain. “Penderaan ialah topik yang sangat tidak menyenangkan,” katanya. “Tetapi bagi saya, hidup dengan luka itu tanpa memberitahu sesiapa pun lebih menyakitkan. Lebih cepat saya menanganinya, lebih cepat saya dapat sembuh.”

 “Waktu untuk menyembuhkan”

 Jika kamu didera, kamu mungkin mempunyai pandangan yang salah tentang diri kamu. Sebagai contoh, kamu mungkin berasa bahawa kamu kotor dan tidak berharga, atau kamu hidup hanya untuk memuaskan nafsu seksual orang lain. Sekaranglah masanya kamu mengubah cara pemikiran kamu yang salah. Dengan demikian, kamu dapat beransur-ansur sembuh. (Pengkhutbah 3:3) Apakah yang dapat membantu kamu berbuat demikian?

 Belajar Bible. Bible mengandungi fikiran Tuhan yang ‘berkuasa dan dapat merobohkan perkara-perkara yang sudah berurat berakar.’ Hal itu termasuk cara pemikiran kamu yang salah. (2 Korintus 10:​4, 5) Sebagai contoh, baca dan renungkan ayat-ayat Bible yang berikut: Yesaya 41:10; Yeremia 31:3; Maleakhi 3:​16, 17; Lukas 12:​6, 7; 1 Yohanes 3:​19, 20.

 Doa. Semasa kamu dibelenggu rasa bersalah atau berasa tidak bernilai, “serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa” melalui doa. (Mazmur 55:22) Kamu tidak bersendirian!

 Penatua. Saudara-saudara ini dilatih untuk menjadi seperti “tempat perlindungan daripada angin kencang, dan bagaikan tempat persembunyian daripada hujan ribut.” (Yesaya 32:2) Mereka dapat membantu kamu mempunyai pandangan yang seimbang tentang diri kamu agar kamu dapat menghadapi masa depan dengan positif.

 Pergaulan yang baik. Perhatikan kehidupan lelaki dan wanita yang merupakan teladan yang baik. Perhatikan cara mereka melayan satu sama lain. Dengan demikian, kamu akan sedar bahawa bukan semua orang bermuka dua dan suka mengambil kesempatan atas orang yang mengasihi mereka.

 Seorang wanita muda yang bernama Tanya telah mendapat banyak manfaat daripada pergaulan yang baik. Dari kecil lagi, dia didera oleh banyak lelaki. “Lelaki yang paling rapat dengan saya selalu melukai saya,” katanya. Tetapi akhirnya, Tanya dapat melihat bahawa ada lelaki yang dapat dipercayai dan memiliki kasih yang tulus. Apakah yang telah membantunya?

 Tanya telah bergaul dengan sepasang suami isteri Kristian yang merupakan teladan yang baik. Hal itu telah mengubah cara pemikirannya. “Daripada cara saudara itu memperlakukan isterinya, saya sedar bahawa bukan semua lelaki suka mendera orang lain,” katanya. “Saudara itu melindungi isterinya. Itulah sebenarnya yang dikehendaki Tuhan.” a​—Efesus 5:​28, 29.

a Jika kamu mengalami masalah seperti kemurungan yang kronik, masalah pemakanan, suka mencederakan diri, menyalahgunakan dadah, masalah tidur, atau ingin membunuh diri, kamu digalakkan untuk mendapatkan bantuan doktor.