KAUM MUDA BERTANYA
Kenapa Saya Tiada Kawan?
Kamu sedang melayari Internet dan kamu nampak gambar-gambar sebuah parti di rumah kawan kamu. Semua kawan kamu ada di situ, dan mereka nampaknya sangat gembira. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Kamu tiada di situ!
“Kenapa saya tidak dijemput?” kamu tertanya-tanya.
Kamu mula berasa marah. Kamu berasa dikhianati! Mereka kata mereka kawan kamu, tapi nampaknya mereka berbohong. Tiba-tiba kamu berasa sangat kesepian, dan kamu berfikir, “Kenapa saya tiada kawan?”
Kuiz kesepian
Benar atau Palsu
Jika kamu ada banyak kawan, kamu tidak akan kesepian.
Jika kamu sertai rangkaian sosial, kamu tidak akan kesepian.
Jika kamu selalu hantar mesej kepada orang lain, kamu tidak akan kesepian.
Jika kamu selalu tolong orang lain, kamu tidak akan kesepian.
Jawapan kepada keempat-empat pernyataan itu ialah palsu.
Mengapa?
Fakta tentang persahabatan dan kesepian
Mempunyai banyak kawan tidak bererti kamu tidak akan kesepian.
“Saya prihatin terhadap kawan-kawan saya. Tapi saya rasa mereka tidak prihatin terhadap saya. Biarpun saya ada banyak kawan, saya rasa bahawa mereka tidak mengasihi saya atau tidak memerlukan saya. Hal ini membuat saya sangat kesepian.”—Anne.
Menyertai rangkaian sosial tidak bererti kamu tidak akan kesepian.
“Ada orang mengumpulkan kawan seperti mengumpulkan patung mainan. Tapi patung-patung mainan tidak dapat mengasihi kamu. Jika kamu tiada kawan yang sejati, kawan-kawan dalam rangkaian sosial kamu seperti patung-patung mainan yang tidak bernyawa.”—Elaine.
Menghantar banyak mesej kepada orang lain tidak bererti kamu tidak akan kesepian.
“Apabila kamu kesepian, kamu akan asyik menengok telefon kamu untuk melihat sama ada kawan kamu menjawab mesej kamu atau tidak. Jika kamu sudah kesepian dan tiada orang menghantar mesej kepada kamu, kamu akan berasa lebih sedih!”—Serena.
Membantu orang lain tidak bererti kamu tidak akan kesepian.
“Saya selalu bermurah hati dengan kawan-kawan saya. Tapi mereka tidak membalas kemurahan hati saya. Saya tidak menyesal kerana bermurah hati dengan mereka. Tapi saya hairan kerana mereka tidak pernah membalas kebaikan saya.”—Richard.
Kesimpulan: Kesepian hanyalah perasaan dalam hati kamu. Seorang gadis yang bernama Jeanette berkata, “Kesepian datang daripada hati seseorang, dan tidak disebabkan oleh faktor-faktor luaran.”
Apakah yang dapat kamu lakukan jika kamu tiada kawan dan kesepian?
Cara mengatasi kesepian
Bina keyakinan diri.
“Orang yang kurang keyakinan diri biasanya akan berasa sunyi. Kamu berasa diri kamu tidak bernilai dan tidak layak menjadi sahabat orang lain.”—Jeanette.
Bible menyatakan, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Galatia 5:14) Untuk membina persahabatan yang baik, kita perlu mengasihi diri sendiri. Tetapi pada masa yang sama, kita tidak patut bersikap angkuh.—Galatia 6:3, 4.
Jangan mengasihani diri.
“Kesepian adalah seperti pasir jerlus. Semakin kita meronta-ronta di dalamnya, semakin susah bagi kita untuk keluar. Demikian juga, semakin kita mengasihani diri, semakin sedikit orang yang mahu berkawan dengan kita.”—Erin.
Bible menyatakan, “Kasih . . . tidak mementingkan diri sendiri.” (1 Korintus 13:4, 5) Jika kita terlalu berfokus kepada diri sendiri, kita akan kurang berminat terhadap orang lain, dan akibatnya, orang lain juga akan kurang berminat untuk berkawan dengan kita. (2 Korintus 12:15) Hakikatnya ialah kamu tidak patut menilai diri berdasarkan cara orang lain memperlakukan kamu! Jika kamu selalu berkata “Tiada orang menelefon saya” atau “Tiada orang ajak saya keluar,” kamu sedang membenarkan orang lain menentukan kebahagiaan kamu. Jika demikian, bukankah kamu sedang menjadi boneka orang lain?
Jangan pilih kawan secara sembarangan.
“Orang yang kesunyian mahukan perhatian, dan kadangkala, mereka bahkan tidak kisah siapa yang memberi mereka perhatian. Mereka hanya ingin berasa diperlukan. Tetapi ada orang mungkin akan mengambil kesempatan ini untuk memperalatkan kamu. Akibatnya, kamu akan berasa lebih sunyi daripada sebelumnya.”—Brianne.
Bible menyatakan, “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak, tetapi orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka.” (Amsal 13:20) Seseorang yang sangat lapar akan makan apa-apa sahaja. Demikian juga, seseorang yang sangat menginginkan kawan akan menerima sesiapa sahaja sebagai kawannya dan dia mudah diperalatkan. Dia berfikir bahawa layanan sedemikian ialah perkara biasa dan dia tidak layak mengharapkan sesuatu yang lebih baik.
Kesimpulan: Semua orang pernah berasa sunyi; cuma ada orang yang berasa lebih sunyi daripada orang lain. Kadangkala kita mungkin berasa sangat sunyi, tetapi itu hanyalah perasaan. Perasaan kita biasanya dipengaruhi oleh fikiran kita, dan kita dapat mengawal fikiran sendiri.
Selain itu, kamu patut mempunyai pandangan yang realistik terhadap orang lain. Jeanette, yang disebutkan sebelum ini, berkata, “Bukan setiap orang akan menjadi kawan baik kamu buat selama-lamanya. Tetapi kamu pasti dapat mencari kawan yang prihatin terhadap kamu, dan kawan sedemikian dapat membantu kamu untuk tidak berasa sunyi lagi.”
Perlukan lebih banyak bantuan? Sila baca kotak “ Mengatasi Rasa Takut tentang Persahabatan.” Kamu juga dapat muat turun PDF “Mengatasi Kesepian” dalam bahasa Indonesia.