Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana jika Guru Saya Tidak Suka Saya?

Bagaimana jika Guru Saya Tidak Suka Saya?

 Guru yang menakutkan

 Hampir setiap pelajar pernah berhadapan dengan guru yang nampaknya tidak adil, yang bersikap melampau, atau memperlakukan mereka dengan jahat.

  •   Luis, yang berumur 21 tahun, berkata, “Dulu, saya ada seorang guru wanita yang selalu menggunakan kata-kata kesat. Dia melayan murid-muridnya dengan tidak hormat. Tidak lama lagi dia akan bersara, jadi dia mungkin berfikir dia tidak akan dipecat kerana bersikap begitu.”

  •   Melanie, yang berumur 25 tahun, masih ingat bagaimana gurunya memperlakukannya dengan teruk berbanding murid-murid lain. Dia berkata, “Cikgu saya cakap, alasan dia melayan saya dengan begitu teruk adalah kerana agama saya tidak sama dengan agama-agama yang utama. Jadi dia kata saya perlu biasakan diri untuk dilayan dengan tidak adil.”

 Jika kamu ada guru seperti itu, kamu dapat buat sesuatu supaya kamu masih gembira semasa pergi ke sekolah. Cubalah cadangan yang berikut.

 Tip untuk menanganinya

  •   Buatlah penyesuaian. Setiap guru adalah berbeza. Jadi apa yang mereka harapkan daripada murid-murid mereka juga berbeza. Cubalah cari tahu apa yang guru kamu harapkan daripada kamu, dan kemudian berusahalah untuk melakukannya.

     Prinsip Bible: “Orang yang bijak suka mendengar dan menerima nasihat.”—Amsal 1:5.

     “Saya sedar bahawa saya perlu mengikut cara cikgu saya. Jadi saya berusaha untuk menyiapkan kerja sekolah seperti yang dia inginkan. Hal ini membuat hubungan saya dengan cikgu saya lebih baik.”—Christopher.

  •   Tunjukkanlah hormat. Cubalah bercakap dengan guru kamu dengan hormat. Janganlah melawan cakap mereka, biarpun kamu berasa bahawa mereka tidak layak untuk dihormati. Ingatlah bahawa dalam pandangan mereka kamu ialah seorang pelajar, bukannya rakan sebaya mereka.

     Prinsip Bible: “Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam. Dengan demikian, kamu akan tahu cara untuk menjawab setiap orang.”—Kolose 4:6.

     “Guru selalu tidak dihormati oleh murid-murid mereka. Jadi, apabila kamu berusaha menunjukkan hormat kepada mereka, hal itu akan mempengaruhi cara mereka melayan kamu.”—Ciara.

  •   Cubalah memahami mereka. Guru juga seorang manusia. Seperti semua orang, mereka juga mempunyai tekanan dan kerisauan. Jadi, janganlah terus berkata, “Cikgu saya jahat” atau “Cikgu saya benci saya.”

     Prinsip Bible: “Kita semua sering berbuat silap.”—Yakobus 3:2.

     “Kerja seorang guru memang mencabar. Saya tidak dapat bayangkan betapa susahnya untuk suruh kanak-kanak duduk diam sambil mengajar mereka. Jadi, saya selalu berasa bahawa saya harus meringankan beban cikgu, dan tidak membuatnya berasa lebih stres lagi.”—Alexis.

  •    Bercakaplah dengan ibu bapa kamu. Ibu bapa ialah penyokong kamu yang terbaik. Mereka ingin kamu berjaya di sekolah. Nasihat mereka dapat membantu kamu menangani guru yang melayan kamu dengan buruk.

     Prinsip Bible: “Rancangan gagal jika tiada perbincangan.”—Amsal 15:22.

     “Ibu bapa ada lebih banyak pengalaman dalam mengatasi masalah berbanding orang muda. Jadi, dengarlah nasihat mereka. Dengan itu, kamu akan berjaya.”—Olivia.

 Bagaimanakah kamu dapat bercakap dengan guru kamu?

 Dalam sesetengah situasi, kamu mungkin perlu beritahu guru kamu kesusahan yang kamu hadapi dengannya. Janganlah risau, hal itu tidak bermaksud bahawa kamu mahu bertengkar dengan guru kamu. Sebaliknya, kamu mahu berbincang dengannya. Kamu mungkin terkejut melihat bahawa cara ini senang dan berkesan.

 Prinsip Bible: ‘Berusahalah melakukan perkara yang membawa perdamaian.’—Roma 14:19.

 “Jika kamu rasa kamu sahaja yang dilayan dengan jahat oleh guru, tanyalah dia kalau kamu ada lakukan sesuatu yang buat dia marah. Jawapannya mungkin dapat membantu kamu buat perubahan yang diperlukan.”—Juliana.

 “Jika kamu ingin meluahkan perasaan kamu tentang sesuatu masalah, adalah lebih baik untuk berjumpa dengan cikgu secara peribadi, sebelum atau selepas kelas. Lakukanlah hal itu dengan tenang. Harap cikgu kamu akan bersikap munasabah dan menghormati cara kamu menangani masalah itu.”—Benjamin.

 KISAH BENAR

 “Keputusan saya sangat teruk. Tapi cikgu saya langsung tidak membantu. Saya mahu berhenti sekolah, sebab dia buat hidup saya sangat susah.

 “Saya minta nasihat daripada cikgu lain. Dia kata, ‘Cikgu itu bukan betul-betul kenal kamu, dan kamu bukan betul-betul kenal dia. Kamu perlu beritahu dia bahawa kamu hadapi masalah. Kalau kamu buat begitu, kamu mungkin dapat bantu pelajar lain yang juga takut bercakap dengan dia.’

 “Kalau boleh, saya tidak mahu buat begitu. Tapi lepas saya fikirkan, betul juga apa yang dia cakap. Saya harus bertindak kalau saya mahu mengubah keadaan.

 “Keesokan harinya, saya jumpa cikgu saya. Dengan hormat, saya beritahu dia bahawa saya sangat menghargai semasa dia mengajar di kelas dan saya mahu belajar sebanyak yang mungkin daripadanya. Tapi saya rasa sangat susah dan tidak tahu mahu buat apa. Dia bagi saya cadangan dan bahkan kata dia boleh bantu saya lepas kelas atau menerusi e-mel.

 “Saya sangat terkejut! Lepas perbualan itu, hubungan saya dengan cikgu saya menjadi lebih bagus. Sekarang, saya tidak lagi berasa susah semasa di sekolah.”—Maria.

 Tip: Jika kamu menghadapi cabaran dengan guru kamu, anggaplah hal itu sebagai suatu latihan untuk membantu kamu lebih bersedia menuju ke alam dewasa. Katie, yang berumur 22 tahun, berkata, “Lepas kamu habis sekolah, kamu mungkin akan bekerja dengan orang yang memegang jawatan lebih tinggi daripada kamu. Mereka mungkin tidak melayan kamu dengan bagus. Jika kamu dapat menangani guru yang melayan kamu dengan buruk, kamu akan dapat menangani orang yang sedemikian pada masa depan.”