Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Penyalahgunaan Alkohol dalam Perkahwinan

Penyalahgunaan Alkohol dalam Perkahwinan

 Adakah pasangan anda pernah beritahu bahawa dia risau tentang tabiat minum alkohol anda? Jika ya, ada beberapa faktor yang anda harus pertimbangkan.

Dalam rencana ini

 Penyalahgunaan alkohol menghancurkan perkahwinan

 Penyalahgunaan alkohol dapat menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan, seperti penyakit jantung, sirosis hati, dan kanser. Tetapi bukan itu sahaja. Penyalahgunaan alkohol juga dapat menyebabkan masalah perkahwinan, seperti keganasan rumah tangga, masalah kewangan, berlaku curang, dan perceraian.

 Bible menyatakan bahawa apabila seseorang menyalahgunakan alkohol, alkohol itu “mematuk seperti ular, dan menyemburkan racun seperti ular berbisa.” (Amsal 23:32) Bagaimanakah anda tahu jika anda ketagih alkohol?

 Adakah anda ketagih alkohol?

 Soalan-soalan berikut dapat bantu anda mengenal pasti simptomnya:

  •   Adakah anda susah mengawal tabiat minum alkohol anda?

  •   Adakah anda selalu fikir tentang bila anda akan minum alkohol lagi?

  •   Adakah anda akan minum biarpun hal itu menyebabkan masalah dalam hidup anda, termasuk dalam perkahwinan anda?

  •   Adakah anda akan mengalami kesan sampingan apabila anda cuba untuk berhenti minum alkohol?

  •   Adakah tabiat minum anda menyebabkan anda bertengkar dengan pasangan anda?

  •   Adakah anda minum lebih banyak alkohol berbanding dahulu?

  •   Adakah anda curi-curi minum atau menyembunyikan alkohol di rumah atau di tempat kerja anda?

 Jika anda menjawab ya kepada satu atau lebih bagi soalan-soalan itu, anda mungkin sudah ketagihan.

 Jangan menafikan tabiat minum anda

 Pernahkah pasangan anda meluahkan kerisauannya tentang tabiat minum anda? Jika ya, anda mungkin cuba untuk meremehkan masalah itu atau membela diri. Anda mungkin menyalahkan orang lain, termasuk pasangan anda, dengan mengatakan hal-hal seperti,

  •   “Jika kamu layan saya dengan baik, saya tidak akan minum.”

  •   “Jika kamu ada kerja yang stres seperti saya, kamu akan minum juga.”

  •   “Saya kenal banyak orang yang minum lebih banyak daripada saya.”

 Jika anda berkata demikian, mungkinkah anda lebih mengutamakan minum alkohol berbanding memiliki perkahwinan yang bahagia? Yang manakah lebih penting?

 Prinsip Bible: “Lelaki yang berkahwin menumpukan perhatian kepada . . . menyenangkan hati isterinya.”—1 Korintus 7:33.

Menafikan masalah bagaikan meletakkan dinding di antara anda dan isteri anda. Namun dengan memasang tingkap pada dinding itu, anda dapat melihat dengan lebih jelas kerisauannya

 Apa yang dapat anda lakukan

  •   Jangan mengabaikan kerisauan pasangan anda. Biarpun jika pasangan anda terlalu risau tentang masalah ini, anda masih dapat membuat perubahan. Sekiranya anda tidak buat perubahan dan terus minum walaupun hal itu merisaukan pasangan anda, hal ini menunjukkan bahawa anda ada masalah alkohol.

     Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”—1 Korintus 10:24.

  •   Ketahui faktanya. Untuk menang dalam pertempuran, seorang askar perlu tahu taktik musuhnya. Anda juga mengalami cabaran yang serupa. Untuk menawan musuh anda, anda perlu tahu fakta tentang ketagihan alkohol dan bagaimana orang terjerat olehnya. Anda juga perlu belajar tentang cara berkesan yang dapat bantu anda mengatasi ketagihan alkohol dan membantu anda untuk tidak lagi mengulanginya.

     Prinsip Bible: “Terus menjauhi keinginan berdosa yang berperang melawan kamu.”—1 Petrus 2:11.

  •   Dapatkan bantuan. Ada beberapa sumber penjagaan kesihatan yang dapat membantu orang mengatasi masalah alkohol, termasuk program pemulihan, pusat rawatan, dan hospital. Anda juga dapat minta seorang rakan yang matang untuk membantu anda mengetahui sebab lain yang menyebabkan anda ketagih dengan alkohol. Jika anda berasa tergoda untuk minum lagi, dapatkanlah bantuan daripada rakan itu.

    Pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan pakar kesihatan

     Prinsip Bible: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

 Penyalahgunaan alkohol ialah masalah yang rumit yang tidak dapat diatasi hanya dengan membaca rencana yang ringkas, atau sekadar berkata, “Saya akan cuba kurangkan minum.” Namun, anda harus sedar bahawa cara anda menangani isu ini bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan anda, tetapi juga perkahwinan anda.

 Untuk maklumat lanjut: Bacalah rencana berikut untuk mengetahui bagaimana orang lain mengatasi penyalahgunaan alkohol.

 Saya Bukan Lagi Seorang yang Kejam

 Saya Tidak Lagi Berasa Malu pada Diri Sendiri

 Jalanan Menjadi Tempat Tinggal Saya

 Tonton juga video ‘Saya Jemu dengan Gaya Hidup Sendiri’