BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Membantu Anak-Anak Menangani Laporan Berita yang Mengganggu Emosi Mereka
Berita tentang kejadian yang menakutkan sering disiarkan dalam televisyen, telefon bimbit, tablet, dan komputer. Biasanya berita-berita itu juga menunjukkan klip video tentang kejadian yang berlaku.
Laporan berita sebegini juga ditonton oleh kanak-kanak.
Bagaimanakah anda dapat membantu anak-anak anda agar tidak terlalu risau dengan berita yang menakutkan?
Bagaimanakah berita sebegitu mempengaruhi anak-anak?
Banyak kanak-kanak berasa risau setelah menonton kejadian buruk dalam berita. Biarpun sesetengah kanak-kanak tidak meluahkan perasaan mereka, laporan berita yang menakutkan mungkin membawa kesan yang teruk terhadap emosi mereka. a Jika ibu bapa menunjukkan kerisauan yang melampau, hal itu mungkin akan menyebabkan anak-anak bertambah risau.
Anak-anak mungkin salah faham dengan berita yang dilihat oleh mereka. Contohnya, ada yang berfikir bahawa apa yang dilihat mereka juga akan terjadi kepada keluarga mereka. Jika anak yang lebih kecil asyik menonton klip video tentang kejadian yang buruk, mereka mungkin berfikir bahawa kejadian yang sama berlaku berulang kali.
Kanak-kanak mungkin tidak tahu menilai berita yang ditayangkan. Kanak-kanak mungkin tidak tahu bahawa agensi berita dapat mengaut keuntungan jika ramai orang yang menonton berita mereka. Jadi, agensi berita mungkin membesar-besarkan sebuah kejadian agar ceritanya lebih sensasi dan menarik lebih banyak penonton.
Jika anak-anak menonton berita yang merisaukan mereka, bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak menanganinya?
Anda boleh mengurangkan pendedahan anak-anak terhadap berita yang buruk. Hal ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak patut mengetahui tentang apa yang berlaku di dunia ini. Namun, adalah tidak baik jika anak-anak terus-menerus melihat atau mendengar berita yang buruk.
“Kadangkala saya dan suami cerita tentang sebuah laporan berita secara terperinci, tapi kami tidak sedar bahawa hal itu membebankan anak kami yang sedang mendengar.”—Maria.
Prinsip Bible: “Kekhuatiran memberatkan hati.”—Amsal 12:25, Alkitab Versi Borneo.
Anda boleh mendengar dengan sabar dan tunjukkan bahawa anda memahami perasaan anak anda. Jika anak anda berasa susah untuk menceritakan perasaannya setelah menonton sebuah berita, anda boleh memintanya untuk mengungkapkan perasaannya dengan melukis gambar. Gunakanlah kata-kata yang dapat difahami oleh anak semasa membincangkan kerisauannya. Namun, elakkan daripada membincangkan terlalu banyak butiran yang tidak perlu diketahuinya tentang berita itu.
“Selepas kami mendengar luahan anak perempuan kami, dia berasa lebih tenang. Jika kami berkata, ‘Keadaan sekarang memang begini, jadi kita harus biasakan diri,’ hal itu tidak akan membantunya.”—Sarahi.
Prinsip Bible: “Cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata.”—Yakobus 1:19.
Anda boleh membantu anak anda untuk mempunyai pandangan yang betul tentang laporan berita yang ditayangkan. Misalnya, laporan berita tentang penculikan mungkin membuat orang berfikir bahawa jenayah sebegitu sering berlaku. Jelaskanlah kepada anak-anak anda tentang langkah-langkah yang telah anda ambil untuk menjaga keselamatan mereka. Selain itu, ingatlah bahawa kejadian yang jarang berlaku biasanya dipilih untuk disiarkan dalam berita.
“Bantulah anak anda untuk mengatasi perasaan resah mereka. Sering kali perasaan kita dipengaruhi oleh fikiran kita. Jadi, jika kita membantu anak-anak kita untuk memikirkan hal-hal yang positif, mereka akan dapat berasa lebih tenang.”—Lourdes.
Prinsip Bible: “Orang yang bijak memilih kata-katanya dengan cermat, dan kata-katanya dapat meyakinkan orang.”—Amsal 16:23.
a Kanak-kanak yang lebih kecil mungkin menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka takut apabila mereka terkencing semasa tidur atau takut pergi ke sekolah dan tidak mahu berpisah dengan ibu bapa.