Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Cara untuk Menunjukkan Kasih Sayang

Cara untuk Menunjukkan Kasih Sayang

 Seraya masa berlalu, sesetengah pasangan suami isteri tidak lagi menunjukkan kasih sayang mereka terhadap satu sama lain. Jika anda menghadapi situasi ini, patutkah anda berasa risau?

 Apa yang perlu anda ketahui

 Menunjukkan kasih sayang amat penting untuk membina perkahwinan yang kukuh. Sebagaimana makanan dan air diperlukan untuk membina tubuh yang sihat dan kuat, suami dan isteri perlu saling menunjukkan kasih sayang untuk membina perkahwinan yang kukuh. Biarpun anda berdua telah berkahwin selama bertahun-tahun, anda masih perlu menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan kepada satu sama lain.

 Kasih sejati tidak mementingkan diri. Seseorang yang benar-benar mengasihi pasangannya akan berusaha untuk membuat pasangannya gembira. Maka suami atau isteri tidak akan menunjukkan kasih sayang sekali-sekala sahaja. Sebaliknya, mereka akan selalu berfikir tentang keperluan pasangan mereka dan berusaha menunjukkan kasih kepadanya.

 Biasanya, isteri mahu suami menunjukkan kasih sayang. Seorang suami mungkin amat mencintai isterinya. Tetapi jika dia hanya menunjukkan kasih sayangnya pada waktu pagi, sebelum tidur, atau sebelum melakukan hubungan seks, isterinya mungkin meragui keikhlasan kasihnya. Maka adalah lebih baik jika suami sering menunjukkan kasih sayang kepada isterinya sepanjang hari.

 Apa yang dapat anda lakukan

 Tunjukkan kasih sayang melalui kata-kata. Ungkapan yang ringkas seperti “Aku mencintaimu” atau “Aku amat menghargaimu” dapat membuat pasangan anda berasa disayangi.

 Prinsip Bible: “Apa yang melimpah dalam hati, itulah yang akan diucapkan oleh mulut.”​—Matius 12:34.

 Tip: Anda juga boleh mengungkapkan kasih anda dengan menulis nota, menghantar SMS, atau menghantar e-mel.

 Tunjukkan kasih sayang melalui perbuatan. Anda boleh menunjukkan kasih sayang anda dengan memeluk, mencium, atau memegang tangan pasangan anda. Anda juga boleh menyentuhnya dengan lembut, memandangnya dengan penuh kasih, atau memberinya hadiah. Dapatkah anda membantu isteri anda, seperti mengangkat begnya, membuka pintu untuknya, mencuci pinggan mangkuk, membasuh pakaian, atau memasak untuknya? Semua perbuatan ini bukan sahaja praktikal, bahkan juga merupakan cara anda menunjukkan kasih sayang anda.

 Prinsip Bible: “Pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir, sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.”​—1 Yohanes 3:18.

 Tip: Layanlah pasangan anda dengan baik, seperti sewaktu anda berdua sedang berdating.

 Meluangkan masa bersama satu sama lain. Jika anda berdua meluangkan masa bersama-sama, anda dapat menguatkan perkahwinan anda dan menunjukkan bahawa anda suka menemani pasangan anda. Tetapi hal ini tidak mudah jika anda sibuk atau mempunyai anak-anak. Jika begitu, anda boleh menjadualkan masa untuk kegiatan yang tidak memakan banyak masa, seperti keluar berjalan-jalan dan bersantai bersama.

 Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—Filipi 1:​10.

 Tip: Sesetengah pasangan yang sibuk menjadualkan masa secara tetap untuk meluangkan masa bersama pada setiap hujung minggu.

 Mengenali pasangan anda. Keperluan emosi setiap orang berbeza. Maka berbincanglah dengan pasangan anda agar anda berdua mengetahui keperluan masing-masing. Kemudian berusahalah untuk memenuhi keperluan pasangan anda. Ingatlah bahawa menunjukkan kasih sayang amat penting untuk membina perkahwinan yang kukuh.

 Prinsip Bible:Kasih . . . tidak mementingkan diri sendiri.”​—1 Korintus 13:4, 5.

 Tip: Daripada memaksa pasangan anda menunjukkan kasih sayang, tanyalah diri, “Apakah yang dapat saya lakukan agar pasangan saya lebih menyayangi saya?”