Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Cara untuk Memupuk Kesabaran

Cara untuk Memupuk Kesabaran

 “Kesabaran setiap suami dan isteri diuji setiap hari. Sebelum berkahwin, kesabaran mungkin tidak terlalu penting, tetapi sifat ini sangat penting jika anda ingin menikmati perkahwinan yang bahagia.”—John.

 Mengapa anda perlu bersabar?

  •   Segala kelemahan pasangan anda terbongkar selepas berkahwin.

     “Setelah anda sudah biasa hidup sebagai seorang suami atau isteri, anda akan lebih cenderung untuk berfokus pada kelemahan pasangan anda dan fikiran yang negatif itu mungkin menjadikan anda kurang sabar.”—Jessena.

  •   Jika anda kurang sabar, anda mungkin akan mengeluarkan kata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu.

     “Saya seorang yang terlalu terus terang. Jika saya lebih bersabar, saya boleh berfikir terlebih dahulu dan sedar bahawa sebenarnya ada hal-hal yang tidak perlu dikatakan.”—Carmen.

     Bible mengatakan, “Kasih itu sabar dan baik hati.” (1 Korintus 13:4) Dua orang yang saling mencintai satu sama lain sepatutnya dapat saling bersabar. Namun, realiti tidak selalunya begitu. John, yang disebut tadi, berkata, “Seperti sifat-sifat baik yang lain, kita perlu usaha untuk memupuk kesabaran. Jika kita biarkan sahaja, pasti lebih senang untuk hilang kesabaran daripada menunjukkannya.”

 Bagaimana anda boleh menunjukkan kesabaran?

  •   Apabila hal yang tidak menyenangkan tiba-tiba tercetus.

     Contoh: Pasangan anda mengatakan sesuatu yang menyakitkan hati anda. Anda juga turut mahu membalasnya.

     Prinsip Bible: “Jangan cepat tersinggung kerana hanya orang bodoh yang cepat tersinggung.”—Pengkhutbah 7:9.

     Cara untuk menunjukkan kesabaran: Berhenti sejenak. Sebelum menjawab, ingatkan diri bahawa pasangan anda bukan sengaja mahu menyakiti perasaan anda. Buku Fighting for Your Marriage mengatakan, “Biasanya reaksi kita dipengaruhi oleh pentafsiran kita terhadap kata-kata pasangan kita, dan bukannya terhadap apa yang dia betul-betul katakan atau maksudkan.”

     Biarpun pasangan anda sengaja mahu membangkitkan kemarahan anda, usaha anda untuk menunjukkan kesabaran dan kawalan diri dapat menenangkan situasi yang tegang itu. Bible mengatakan, “Tanpa kayu, api padam.”—Amsal 26:20.

     “Apabila anda mula rasa jengkel terhadap isteri anda, berhenti sejenak dan fikirkan sebab anda mencintainya. Kemudian, lakukanlah sesuatu yang baik kepadanya dengan segera.”—Ethan.

     Cuba renungkan:

    •  Apakah reaksi anda apabila pasangan anda mengatakan atau melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan anda?

    •  Bagaimanakah anda boleh lebih bersabar jika hal itu berlaku lagi pada masa depan?

  •   Apabila pasangan anda sering mengulangi kesilapannya.

     Contoh: Pasangan anda sering lambat dalam segala hal, dan anda menjadi semakin marah seraya menunggunya.

     Prinsip Bible: “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati.”—Kolose 3:13.

     Cara untuk menunjukkan kesabaran: Cuba utamakan perkahwinan anda daripada kepentingan sendiri. Tanyalah diri, ‘Jika saya bertengkar dengan pasangan tentang perkara ini, adakah hubungan kami menjadi lebih baik atau sebaliknya?’ Ingatlah juga bahawa “kita semua sering berbuat silap.” (Yakobus 3:2) Hal ini bermaksud anda juga mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

     “Ada kalanya saya lebih senang bersabar terhadap seorang kawan daripada suami saya sendiri. Saya rasa hal ini kerana saya lebih sering bersama dengan suami dan selalu melihat kelemahannya. Tetapi jika saya menunjukkan kesabaran, itulah tanda bahawa saya mengasihi dan menghormatinya. Sesungguhnya sifat ini sangat penting dalam perkahwinan kami.”—Nia.

     Cuba renungkan:

    •  Sejauh manakah anda dapat bersabar terhadap kelemahan pasangan anda?

    •  Bagaimanakah anda boleh menjadi seorang yang lebih bersabar?