AYAT BIBLE DIJELASKAN
Yohanes 14:6—“Akulah Jalan, Kebenaran dan Hidup”
“Yesus berkata, ‘Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.’”—Yohanes 14:6, Terjemahan Dunia Baharu.
“Yesus menjawab, ‘Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.’”—Yohanes 14:6, Alkitab Versi Borneo.
Maksud Yohanes 14:6
Seseorang yang ingin menyembah Bapa, iaitu Tuhan Yehuwa, a mesti mengakui peranan penting Yesus.
“Akulah jalan.” Yesus menyediakan “jalan” supaya kita dapat menghampiri Tuhan dalam cara yang diterima Tuhan. Sebagai contoh, mereka yang berdoa kepada Tuhan mesti berdoa melalui nama Yesus. (Yohanes 16:23, 24) Kematian Yesus membuka peluang kepada manusia untuk berbaik semula dengan Tuhan, atau mendapat perkenan-Nya semula. (Roma 5:8-11) Yesus juga telah menetapkan teladan dari segi kelakuan, yang mesti diikuti mereka yang ingin menyenangkan hati Tuhan.—Yohanes 13:15.
“Akulah . . . kebenaran.” Yesus selalu mengatakan kebenaran, dan dia juga hidup selaras dengannya. (1 Petrus 2:22) Dengan mendengar kata-kata Yesus, seseorang dapat mempelajari kebenaran tentang Tuhan. (Yohanes 8:31, 32) Yesus juga ialah “kebenaran” kerana dia membuat nubuat Bible dan janji-janji Tuhan menjadi kenyataan.—Yohanes 1:17; 2 Korintus 1:19, 20; Kolose 2:16, 17.
“Akulah . . . kehidupan.” Yesus telah mengorbankan nyawanya supaya mereka yang beriman kepadanya boleh mendapat kehidupan kekal. (Yohanes 3:16, 36) Dia juga merupakan “kehidupan” bagi mereka yang sudah meninggal, kerana dia akan membangkitkan mereka daripada kematian.—Yohanes 5:28, 29; 11:25.
“Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” Mereka yang ingin menjadi sahabat Tuhan dan menerima perkenan-Nya mesti menerima peranan Yesus yang istimewa. Mereka berbuat demikian dengan berdoa kepada Tuhan melalui nama Yesus. Dengan itu, mereka menunjukkan bahawa mereka mengakui kekuasaan Yesus Kristus. (Yohanes 15:16) Mereka juga mengakui bahawa orang dapat diselamatkan hanya melalui Yesus.—Kisah 4:12; Filipi 2:8-11.
Konteks Yohanes 14:6
Yohanes bab 13 hingga 17 mengandungi nasihat yang diberikan Yesus kepada 11 orang rasulnya yang setia pada malam sebelum kematiannya. Dalam bab 14, Yesus menggalakkan para pengikutnya untuk beriman, mengasihi, dan mentaati dia dan Bapanya. (Yohanes 14:1, 12, 15-17, 21, 23, 24) Yesus juga telah bercakap mengenai hubungannya yang rapat dengan Bapanya. (Yohanes 14:10, 20, 28, 31) Walaupun dia akan kembali ke syurga tidak lama selepas itu, dia telah meyakinkan para pengikutnya bahawa dia tidak akan meninggalkan mereka. (Yohanes 14:18) Yesus juga berjanji bahawa dia akan memberi mereka “penolong itu, iaitu kuasa suci Tuhan, yang akan diutus oleh Bapa” atas nama Yesus. (Yohanes 14:25-27) Menerusi kata-kata ini dan cara-cara lain, Yesus membantu pengikutnya bersedia untuk cabaran yang menanti mereka pada masa depan.