Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Matius 6:33​—‘Utamakanlah Pemerintahan Tuhan’

Matius 6:33​—‘Utamakanlah Pemerintahan Tuhan’

 “Maka, hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.”—Matius 6:33, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Tuhan dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Tuhan akan memberikan semua itu kepada kamu.’—Matius 6:33, Alkitab Berita Baik.

Maksud Matius 6:33

 Kerajaan Tuhan ialah sebuah pemerintahan di syurga yang akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi. (Matius 6:9, 10) Seseorang yang mengutamakan Kerajaan Tuhan akan menjadikannya hal yang terpenting dalam hidupnya. a Dia bukan sahaja suka belajar tentang Kerajaan Tuhan, tetapi juga akan memberitahu orang lain hal-hal baik yang akan dilakukan Kerajaan Tuhan. (Matius 24:14) Selain itu, dia akan berdoa agar Kerajaan Tuhan datang.—Lukas 11:2.

 Apa yang benar di mata Tuhan merangkumi piawaian-Nya tentang apa yang betul dan salah. (Mazmur 119:172) Jadi, seseorang yang mengutamakan apa yang benar di mata Tuhan akan hidup mengikut standard moral Tuhan, yang sentiasa membawa manfaat bagi kita.—Yesaya 48:17.

 Ungkapan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu ialah janji Tuhan bahawa Dia akan menyediakan keperluan hidup bagi mereka yang mengutamakan Kerajaan-Nya serta piawaian-Nya.—Matius 6:31, 32.

Konteks Matius 6:33

 Kata-kata Yesus ini adalah sebahagian daripada Ceramah Di Atas Gunung, yang tercatat di Matius bab 5-7. Barangkali, banyak pendengar Yesus ialah orang miskin. Mereka mungkin berasa bahawa mereka perlu berfokus untuk mencari nafkah sehingga tiada masa untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. Namun, Yesus menggalakkan mereka untuk memerhatikan cara Tuhan menjaga haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang diciptakan-Nya. Tuhan berjanji untuk melakukan hal yang sama bagi orang yang mengutamakan Kerajaan-Nya.—Matius 6:25-30.

Tanggapan yang Salah tentang Matius 6:33

 Tanggapan yang salah: Seseorang yang mengutamakan Kerajaan Tuhan akan menjadi kaya.

 Kebenaran: Yesus berkata bahawa mereka yang mengutamakan Kerajaan Tuhan akan mendapat apa yang diperlukan, seperti makanan dan pakaian. (Matius 6:25, 31, 32) Namun, dia tidak menjanjikan kekayaan. Dia juga tidak berkata bahawa berkat Tuhan diukur berdasarkan harta milik seseorang. Sebenarnya, Yesus menasihati para pendengarnya agar tidak mengejar kekayaan kerana hal itu boleh membuatkan seseorang susah untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Matius 6:19, 20, 24) Rasul Paulus berusaha sedaya upaya untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan, tetapi ada kalanya dia juga hidup serba kekurangan. Seperti Yesus, dia juga memberi amaran tentang bahayanya mengejar kekayaan.—Filipi 4:11, 12; 1 Timotius 6:6-10.

 Tanggapan yang salah: Orang Kristian tidak perlu bekerja untuk menyara hidup.

 Kebenaran: Bible berkata bahawa orang Kristian harus bekerja untuk menyara hidup sendiri dan keluarga mereka. (1 Tesalonika 4:11, 12; 2 Tesalonika 3:10; 1 Timotius 5:8) Yesus tidak berkata bahawa para pengikutnya harus bertumpu kepada Kerajaan Tuhan sahaja, sebaliknya dia berkata bahawa mereka harus mengutamakan Kerajaan Tuhan.

 Mereka yang mengutamakan Kerajaan Tuhan dan sudi bekerja untuk menyara hidup dapat yakin bahawa Tuhan akan membantu mereka memenuhi keperluan hidup.—1 Timotius 6:17-19.

a Ungkapan “sentiasa mengutamakan” diterjemahkan daripada kata kerja Yunani yang membawa erti tindakan yang berterusan. Ungkapan ini juga boleh diterjemahkan sebagai “terus mengutamakan.” Jadi, Kerajaan Tuhan haruslah menjadi keutamaan, dan bukannya hal yang diminati sementara sahaja.