Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Markus 11:24—“Apabila Kamu Berdoa dan Minta Sesuatu, Percayalah bahawa Kamu Telah Menerimanya”

Markus 11:24—“Apabila Kamu Berdoa dan Minta Sesuatu, Percayalah bahawa Kamu Telah Menerimanya”

 “Itulah sebabnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang kamu mohon dalam doa, berimanlah bahawa kamu akan menerimanya. Maka kamu pun akan menerimanya.”—Markus 11:24, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu.”—Markus 11:24, Alkitab Berita Baik.

Maksud Markus 11:24

 Kata-kata Yesus menunjukkan pentingnya beriman bahawa doa memang berkuasa. Dia meyakinkan para pengikutnya bahawa Tuhan bukan sahaja mendengar, malah menjawab doa mereka. Jika doa seseorang ikhlas dan selaras dengan kehendak Tuhan, doanya pasti dikabulkan. Dia boleh begitu yakin akan hal itu, seolah-olah doanya sudah pun dijawab.

 Yesus menekankan bahawa seseorang yang berdoa mesti “beriman dan tidak ragu-ragu bahawa apa yang dikatakannya akan terjadi.” (Markus 11:23) Mengapa? Kerana orang yang ragu-ragu “tidak dapat mengharapkan apa-apa daripada Yehuwa.” aYakobus 1:5-8.

 Seseorang yang beriman akan sering berdoa. (Lukas 11:9, 10; Roma 12:12) Dengan berbuat demikian, dia menunjukkan bahawa dia betul-betul memerlukan apa yang dimintanya dan percaya bahawa Tuhan dapat menjawab doanya. Sudah tentu, dia sedar bahawa Tuhan mungkin menjawab doanya dalam cara dan pada masa yang berbeza daripada apa yang diharapkannya.—Efesus 3:20; Ibrani 11:6.

 Namun, kata-kata Yesus tidak bermaksud bahawa Tuhan akan mendengarkan doa sesiapa sahaja atau menunaikan apa sahaja permintaan. Kata-kata Yesus ditujukan kepada para pengikutnya. Mereka semua ialah orang yang beriman kepada Tuhan dan berusaha untuk menyembah-Nya dengan cara yang betul. Bible kata Yehuwa hanya mendengar doa yang selaras dengan kehendak-Nya. (1 Yohanes 5:14) Dia tidak mendengar doa orang yang sengaja melanggar perintah-Nya, atau orang yang berbuat jahat dan enggan bertaubat. (Yesaya 1:15; Mikha 3:4; Yohanes 9:31) Untuk maklumat lanjut tentang doa yang didengari Tuhan, tontonlah video pendek ini.

Konteks Markus 11:24

 Tidak lama sebelum Yesus mati, dia mengajar murid-muridnya kepentingan mempunyai iman yang kuat kepada Tuhan. Dia menggunakan sebuah perumpamaan untuk menjelaskannya kepada mereka. Semasa mereka membuat perjalanan ke Yerusalem, dia nampak sepohon pokok ara yang sudah berdaun tetapi tidak berbuah, maka Yesus mengutuk pokok itu. (Markus 11:12-14) Pokok ara yang sudah berdaun tetapi tidak berbuah itu tepat menggambarkan keadaan bangsa Israel. Dari luar, mereka nampaknya rajin beribadat, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman. (Matius 21:43) Tidak lama selepas dikutuk, pokok ara itu layu. Hal itu menggambarkan apa yang akan berlaku kepada bangsa Israel yang tidak beriman.—Markus 11:19-21.

 Namun, Yesus yakin bahawa para pengikutnya dapat membina iman yang kuat untuk mengatasi cabaran dan melakukan hal-hal yang luar biasa. (Markus 11:22, 23) Nasihat Yesus tentang doa sangat sesuai bagi mereka pada masa itu kerana tidak lama lagi, mereka harus berdepan dengan kematian Yesus dan tentangan yang semakin bertambah. (Lukas 24:17-20; Kisah 5:17, 18, 40) Dewasa ini, para pengikut Yesus juga dapat mengatasi cabaran yang besar jika mereka beriman kepada Tuhan dan percaya bahawa doa memang berkuasa.—Yakobus 2:26.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Markus.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?